Tuesday

PARLIMEN DAN MAJLIS SYURA SATU PERBANDINGAN



1. PENGENALAN
Negara boleh diumpamakan sebagai sebuah keluarga. Apa yang berlainan ialah bahawa keluarga terdiri daripada ahli-ahli yang kecil sementara negara mempunyai ahli atau rakyat yang ramai yang mempunyai hak dan keperluan masing-masing. Jika kita lihat alam semesta ini, ada siang adanya malam. Malam akan mendatang apabila matahari mula terbenam, siang muncul semula apabila matahari terbit keesokan harinya. Giliran siang dan malam memang ditetapkan oleh penciptanya iaitu Tuhan Yang Maha Esa. Ini menunjukkan bahawa segala-galanya dalam dunia ada had-had yang ditentukan, samada ditentukan oleh keadaan atau terikat kepada sesuatu undang-undang, mahupun ditetapkan oleh yang lebih berkuasa.

Samalah juga dalam halnya manusia. Kebebasan seseorang ada had-had tertentu. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati tanpa berlandaskan undang-undang yang betul. Tetapi acapkali maksud undang-undang itu disalah ertikan. Sesetengah pihak atau orang memang sengaja menyalahertikan maksud sebenar undang-undang dengan mengatakan bahawa `kita boleh melakukan apa sahaja yang kita suka` tanpa terikat dengan mana-mana undang-undang di negara ini.

Di Malaysia sendiri, sudah menjadi kelaziman bahawa sesuatu negara mempunyai corak kerajaan dan pentadbiran yang tertentu dalam mengendalikan usaha-usaha yang berkaitan dengan memberi kemudahan dan perkhidmatan bagi rakyat jelata, serta mengawal ketenteraman negara mengikut undang-undang. Dalam kerajaan bercorak Persekutuan ada perkara-perkara yang di bawah kawalan Persekutuan dan ada pula perkara-perkara yang di bawah kawalan Kerajaan-kerajaan Negeri. Di peringkat Persekutuan sebenarnya Parlimen yang mengandungi Dewan Undangan Persekutuan ( Federal Legislative Assembly) atau dikenal juga dengan nama Dewan Rakyat dan di peringkat Kerajaan Negeri ada pula Dewan Undangan Negeri (State Legislative Assembly). Ini bermakna sesebuah Dewan Undangan itu sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri mempunyai kuasa mewujudkan undang-undang yang di bawah senarai masing-masing seperti tertera dalam Perlembagaan.(Kerajaan Dan Pentadbiran Malaysia, Abdullah Sanusi Ahmad,1980: 23)

Begitu juga di dalam Majlis Syura. Di mana majlis ini hanya membincangkan tentang perihal agama semata-mata tanpa membuat undang-undang sendiri melainkan melandaskan hukum syarak yang telah tersedia ada di dalam Islam. Di dalam majlis ini, ia bersifat penghuraian lanjut yang bukan sahaja berlandaskan nilai-nilai syariah sebagaimana yang terdapat dalam wahyu tetapi juga secara bersama berasaskan kepada mentaliti, nilai intelektual semasa dan institusi setempat yang merupakan asas-asas pendekatan yang menjadikan nilai-nilai syariah itu lebih praktikal. Secara mudahnya mempersoalkan tentang peranan pemerintah dalam melaksanakan nilai-nilai syariat yang telah diijtihadkan itu dalam bentuk pandangan atau suara sesebuah majlis itu.



2. PENGERTIAN

2.1 PARLIMEN
Parlimen merupakan institusi paling tinggi dalam membuat undang-undang. Parlimen mengandungi Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara atau Dewan Senat dan Dewan Rakyat. Semua undang-undang Kerajaan Persekutuan mestilah diluluskan oleh Parlimen. Sungguhpun Jemaah Menteri mempunyai kuasa-kuasa memerintah Negara, tetapi mereka mestilah bertanggung jawab kepada parlimen. Mereka mestilah tunduk kepada keputusan-keputusan Parlimen. Dengan ini, mereka tidak boleh melaksanakan tugas mereka yang diberikan oleh Parlimen dengan sesuka hati.

2.2 MAJLIS SYURA
Syura adalah suatu konsep yang digunakan dalam menentukan keputusan di dalam pemerintahan sesebuah Negara Islam. Ianya meliputi segenap aspek pemerintahan bermula  dengan  menentukan  dasar sehingga pelaksanaanya. Konsep adalah sebagai penjamin kepada kejayaan dan kesetabilan politik Islam. Ianya juga penting bagi mengelakkan kecacatan dalam pelaksanaannya dari masa ke semasa. Melalui syura setiap permasaalahan yang timbul dapat diselesaikan, segala tugas dan tanggungjawab dipikul bersama dan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pemimpin dan rakyat
Kata syura adalah kata bahasa Arab yang membawa erti sebagai mesyuarat dari segi bahasa. Dari segi istilah ianya membawa maksud pemesyuaratan yang diadakan oleh
sekumpulan ulama dan umat Islam dalam segala hal yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan mereka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan (Mustafa Haji Daud, Tamadun Islam 1991:388).

Menurut Ibn Manzur pula, syura adalah penyaringan madu iaitu menyaring madu dari sarangnya. Syura diasaskan bertujuan untuk mewujudkan perbincangan dan perundingan antara cerdik pandai ahli agama untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Syura juga dianggap sebagai penetap hukum yang merupakan lambang asasi al-syariah dan pemimpin yang tidak melaksanakan syura wajib disingkir tanpa perselisihan pendapat para ulama’ (Lisan al-Arab, 1968, 4:434).

3. KEANGGOTAAN DAN KOMPOSISI

3.1  KEANGGOTAAN PARLIMEN
Di dalam Parlimen keanggotaan dipilih oleh parti atau pemerintah. Bagi orang bukan Islam mereka turut boleh menyertai keanggotaan dan diterima tanpa syarat dan batasan. Bagi golongan wanita mereka juga berhak menerajui sebagai pemimpin dalam keanggotaan.


3.1.1 DEWAN NEGARA
Dewan Negara mempunyai ahli seramai 69 orang (tertakluk kepada pindaan perlembagaan). Setiap negeri di Malaysia, iaitu 13 buah semuanya, diwakili oleh dua orang ahli dan ini menjadikan jumlahnya 26 orang. 43 orang lagi (tertakluk kepada pindaan perlembagaan) adalah ahli-ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Ahli yang dilantik oleh YDP adalah mereka yang telah banyak membuat jasa kepada Negara. Ini termasuk mereka yang telah banyak membuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau yang telah mencapai kepujian yang tinggi dalam lapangan ikhtisas, perdagangan, perusahaan dan pertanian. Turut dipertimbangkan kepada mereka yang bergiat dengan jayanya dalam lapangan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat, atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya di Negara ini. Ini menunjukkan ahli-ahli Dewan Negara adalah mewakili kumpulan-kumpulan dalam pelbagai lapangan kehidupan. Ternyatalah sekarang semua warganegara Malaysia diwakili dalam Dewan Negara dalam menjaga dan memperjuangkan hak-hak mereka.(Aku Dan Negaraku, Mokhtar A. Kadir, 1986: 34)

3.1.2 WAKIL NEGERI
Wakil-wakil negeri pula terdiri daripada yang difikirkan oleh kerajaan negeri yang boleh mewakilkan kepentingan negeri-negeri itu dalam Dewan Negara. Yang di-Pertuan Agong akan memberitahu sultan-sultan atau Yang Di-pertua Negeri supaya negeri-negeri berkenaan melantik wakil masing-masing ke dalam Dewan Negara apabila berlaku kekosongan wakil dari negeri-negeri berkenaan. Di sini, seorang yang dilantik menjadi ahli Dewan Negara akan memegang jawatan tersebut selama tempoh tiga tahun. Walaupun demikian mereka boleh meletakkan jawatan atau diberhentikan pada bila-bila masa. Ahli Dewan Negara mestilah sekurang-kurangnya berumur 30 tahun.

3.1.2 YANG DIPERTUAN DEWAN NEGARA
Dewan Negara mempunyai seorang Yang Dipertuan atau Pengerusi dan seorang Timbalan Yang Dipertuan. Yang Dipertua akan menjadikan pengerusi mesyuarat apabila Dewan mengadakan sidangnya; Timbalan Yang dipertua akan menjadi pengerusi mesyuarat semasa ketiadaan Yang Dipertua. Kedua-duanya mestilah menjadi ahli Dewan tersebut. Sebelum Dewan Negara memulakan mesyuaratnya, iaitu pada setiap kali selepas Parlimen dibubarkan, para senator yang semuanya baru dilantik akan memilih Yang Dipertuan Dewan. Mereka juga akan memilih Timbalan Yang Dipertua sebelum Dewan memulakan mesyuaratnya. Dewan tidak boleh menjalankan urusannya selagi tidak mempunyai Yang Dipertua. Perlembagaan Perseketuan membenarkan seorang ahli Dewan Undangan Negeri dilantik atau dipilih menjadi Yang Dipertua Dewab Negara. Tetapi ia hendaklah terlebih dahulu meletakkan jawatannya daripada menjadi ahli Dewan Undangan Negeri sebelum menjalankan tugasnya sebagai Yang Dipetua Dewan Negara. Dewan ini juga mempunyai seorang setiausaha.( Sistem Undang-Undang Di Malaysia, Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, 2002: 46)


3.1.3 DEWAN RAKYAT
Dewan rakyat mengandungi ahli-ahli terdiri daripada 177 orang. Mereka adalah yang dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihanraya dalam kawasan pilihanraya Parlimen di setiap negeri. Dalam pilihanraya seperti ini, parti-parti politik akan meletakkan calon-calon untuk bertanding dalam kawasan-kawasan pilihanraya Parlimen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Di mana ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya ini pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Suruhanjaya yang dilantik hendaklah bebas daripada sebarang pengaruh parti politik dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Anggota Dewan Rakyat bukan sahaja bergantung kepada jumlah penduduk sesuatu kawasan pilihanraya Parlimen, tetapi juga bergantung kepada pembangunannya. Jika sesebuah negeri itu lebih ramai penduduknya dan lebih luas kawasannya, sudah tentu negeri itu akan mempunyai lebih banyak kawasan pilihanraya Parlimen dan dengan itu akan mempunyai banyak wakilnya bagi Dewan Rakyat. Tidak seperti Dewan Negara, ahli-ahlinya dari wakil negeri adalah tetap, tidak kira sama ada negeri itu kecil atau besar dan sama ada jumlah penduduknya ramai atau tidak.(Aku Dan Negaraku, Mokhtar A. Kadir, 1986: 34)

3.2 KEANGGOTAAN MAJLIS SYURA
Majlis Syura dipilih oleh rakyat. Namun begitu orang kafir boleh mewakili golongan mereka dan terbatas kepada aduan tentang kezaliman penguasa ke atas mereka. Bagi golongan wanita, mereka hanya dibolehkan memberikan pendapat serta idea yang bernas untuk digunapakai di dalam majlis dalam menyelesaikan sesuatu isu. Bagi golongan wanita ini mereka tidak berhak menjadi pemimpin dalam sesuatu majlis terutamanya menerajui pemimpin utama.

Terdapat beberapa syarat keanggotaan Majlis Syura yang telah dikenalpasti oleh para sarjana Islam setelah melakukan penyelidikan menerusi amalan yang telah dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. Antara syarat-syarat tersebut adalah:-

a.      Mestilah seorang yang bersifat ‘adalah (al-Muhami Mahmud, Al-Syura Fi Al-Islam,1976:46).

b.     Tahap keilmuan yang tinggi dalam bidang tertentu. Ini mungkin merujuk kepada kepakaran seseorang dalam disiplin sesuatu ilmu. Ini adalah kerana mana mungkin manusia itu boleh menguasai semua ilmu yang begitu luas(Ibid).

c.      Mempunyai pengalaman yang luas dalam membuat suatu polisi atau sekurang-kurangnya pernah terlibat dengan kepentingan orang ramai. Ini merupakan kriteria yang penting kerana orang yang berpengalaman merupakan orang yang telah matang. Walau bagaaimanapun, peringkat kematangan seorang individu adalah berbeza-beza, bagaimanapun dianggap benar-benar matang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Majlis Syura adalah berada dalam tahap umur tiga puluhan berdasarkan keadaan lazim (Abdullah Munifi, The Islamic Constitutional Theory,1967 :383).

d.     Menjadi Warganegara, Peruntukan ini adalah bertujuan untuk mengawasi musuh-musuh bagi sesuatu Negara yang bertujuan menghancurkan Islam dan umatnya.    

4. FUNGSI PARLIMEN DAN MAJLIS SYURA

4.1 FUNGSI PARLIMEN
Parlimen fungsinya hanya membuat undang-undang. Dalam sebuah negara demokrasi berparlimen umpamanya Malaysia, Parlimen merupakan institusi yang paling tinggi kerana salah satu tugasnya ialah membuat undang-undang dan meluluskan undang-undang. Segala bentuk undang-undang yang dikuatkuasakan adalah melibatkan kehidupan kita seharian. Namun ada juga undang-undang itu tidak terlibat dengan kita secara langsung tetapi berkaitan juga dengan kehidupan negara kita. Misalnya, Parlimen meluluskan satu undang-undang bagi mengawal orang asing, iaitu bukan warganegara daripada bekerja di Malaysia. Sungguhpun ia hanya melibatkan orang asing, tetapi faedahnya ialah kepada warganegara atau rakyat Malaysia sendiri. Ini kerana apabila orang asing ditegah atau dilarang bekerja di negara ini, beerti peluang-peluang pekerjaan yang dulunya dinikmati oleh rakyat negara asing, sekarang terbuka kepada rakyat negara ini sendiri. Contohnya hal seperti ini berlaku semasa Persekutuan Tanah Melayu baru mencapai Kemerdekaan.

Di sini, undang-undang yang diluluskan memberi kuasa kepada sesuatu jabatan atau badan, kadangkala kepada menteri berkenaan dalam melaksanakan peraturan seperti yang ditetapkan dalam undang-undang itu sendiri. Misalnya, setiap kenderaan bermotor mestilah mempunyai insuran bagi membolehkan tuan punya kenderaan itu mendapat lesen cukai jalan. Tanpa cukai jalan, kenderaan berkenaan tidak boleh menggunakan jalan raya dan tanpa insuran pula tuan punya kenderaan tidak boleh mendapat lesen cukai jalan. Dalam aspek undang-undang lalulintas atau ordinan lalulintas, ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan menyaman atau mengenakan bayaran kompaun kepada mereka yang melanggar undang-undang. Malahan, Mahkamah juga diberi kuasa oleh undang-undang berkenaan untuk mengenakan hukuman atau denda terhadap mereka yang disabitkan kesalahan apabila seseorang yang dituduh melanggar undang-undang tersebut yang mana ia akan dibicarakan di mahkamah.

Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa ahli Dewan Rakyat mewakilkan rakyat dalam sesuatu pilihanraya. Merekalah mewakilkan rakyat dalam parlimen semasa membahaskan atau mendebatkan sesuatu rang undang-undang dan mengemukakan masalah-masalh yang dihadapi oleh rakyat. Maka disini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sememangnya Parlimen mempunyai hubungan yang rapat dengan kita semua dalam kehidupan kita sehari. .(Aku Dan Negaraku, Mokhtar A. Kadir, 1986: 34)


4.2 BAGAIMANA UNDANG-UNDANG DIBUAT DI PARLIMEN?

ISU ATAU KEPUTUSAN
SESEBUAH KEMENTERIAN
RANG UNDANG-UNDANG
DIBENTANGKAN DI PARLIMEN
BACAAN KALI KEDUA
PERBAHASAN PERINGKAT JAWATANKUASA
RANG UNDANG-UNDANG DILULUSKAN
KE DEWAN NEGARA
DIPERKENANKAN OLEH YANG DI-PERTUAN AGONG
4.2.1 KEPUTUSAN SESEBUAH KEMENTERERIAN
Sebelum undang-undang dibuat ia terpaksa melalui beberapa proses. Undang-undang bermula apabila sesebuah kementerian hendak melaksanakan sesuatu projek atau peraturan baru, maka mereka akan merangka atau menggubal rang undang-undang mengenai peraturan yang nak dilaksanakan. Contohnya, badan pencegah dadah hendak ditubuhkan. Badan ini mempunyai kuasa yang berasingan dari mana-mana badan seperti Pasukan Polis Diraja atau Badan Kebajikan Masyarakat. Rangka undang-undang digubal oleh para pegawai kementerian dengan kerjasama pakar-pakar perundangan dari pejabat Peguam Negara. Siap sahaja dirangka, ia diserahkan kepada menteri berkenaan untuk diluluskan sehingga berpuas hati. Kemudian dibentangkan di dalam Jemaah Menteri.

4.2.2 RANG UNDANG-UNDANG DIBENTANGKAN DI PARLIMEN    
Apabila rang undang-undang selesai dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri, barulah rang undang-undang itu dikemukakan kepada Parlimen dan ditentukan samada dibentangkan kepada Dewan Rakyat atau Dewan Negara terlebih dahulu. Kebiasaannya, rang undang-undang dibentangkan di Dewan Rakyat kemudian barulah dikemukakan ke Dewan Negara. Rang undang-undang yang dibentangkan merupakan bacaan kali pertama.

4.2.3 BACAAN KALI KEDUA
Pada peringkat ini, perbahasan akan dijalankan dalam dua peringkat. Dalam peringkat pertama rang undang-undang dibahaskan secara am, menyentuh tentang dasar rang undang-undang. Peringkat kedua dilakukan dalam peringkat jawatankuasa. Kemudian perbahasan digulungkan dalam parlimen dalam membahaskan sesuatu undang-undang.

4.2.4 PERBAHASAN PERINGKAT JAWATANKUASA
Di peringkat ini, jawatankuasa akan membincangkan rang undang-undang itu dengan memberikan tumpuan kepada fasal-fasal dalam rang undang-undang itu sahaja. Kemudian speaker akan memberitahu ahli-ahli Dewan jika ada ahli yang ingin membuat teguran atau pindaan dan membahaskannya. Segala perbahasan mestilah tidak terkeluar dari fasal atau seksyen rang undang-undang yang dibahaskan.

4.2.5 RANG UNDANG-UNDANG DILULUSKAN
Di sini, semua peringkat dibacakan untuk kali ketiga dan diluluskan. Di sini speaker akan meminta persetujuan daripada ahli Dewan beramai-ramai. Jika terdapat tiada persetujuan hanya seorang ahli sahaja, maka speaker memberi keputusanya hendaklah dipersetujui kerana mengikut suara majoriti.


4.2.6 KE DEWAN NEGARA
Ini merupakan medan tpenghujung rang undang-undang itu dibahaskan oleh para senator. Segala pengucapan dan prinsip undang-undang hendaklah diperjelaskan seperti yang dibuat oleh Dewan Rakyat. Adakalanya perbahasan mengambil masa beberapa hari untuk dihabiskan contohnya dalam rang undang-undang pembekalan.

4.2.7 DIPERKENANKAN
Di peringkat akhir ini. Yang di-Pertuan Agong akan berkenan menandatangani rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen itu. Setelah mendapat perkenan diraja, rang undang-undang kini menjadi undang-undang dan diwartakan dalam warta kerajaan. Setelah itu semua rakyat hendaklah mematuhi dan menjunjung tinggi undang-undang itu.

4.3 FUNGSI MAJLIS SYURA
Sesungguhnya bidang Majlis Syura amat luas. Ianya hanya berlandaskan dalam satu majlis sahaja iaitu Syura yang mana meliputi segala aspek kehidupan manusia. Majlis Syura digunakan bagi membincangkan permasaalahan yang berkaitan pentadbiran, kehakiman dan perundangan.

Ianya juga berkait rapat dengan masalah-masalah fiqh seperti ibadah, jenayah, perkahwinan, perniagaan, perwarisan.
Di dalam Majlis Syura ahli-ahli keanggotaan tidak mempunyai kekebalan seperti di Parlimen. Mereka hanya bersuara atas hak semata-mata dan tidak boleh bercakap yang bukan-bukan seperti yang dilakukan di Parlimen. Mereka juga tidak bebas dalam menyampaikan sesuatu pandangan dalam perbahasan. Ini kerana semuanya hanya berlandaskan kehendak Islam semata-mata.(Mempelajari Undang-Undang, Glanville Williams, 2004: 39)

4.4 BAGAIMANA PENDAPAT DISEPAKATI  DALAM MAJLIS SYURA?
Dalam Majlis Syura, tiada undang-undang yang digubal seperti yang dilaksanakn oleh Parlimen. Mereka hanya membahaskan sesuatu isu dengan berlandaskan pendapat yang disepakati mengikut kehendak Islam. Di sini juga mereka bermuhasabah dalam menangani beberapa masalah contohnya kezaliman seseorang pemerintah. Mereka berbincang dan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan melontarkan pandangan masing-masing mengikut nas dan syarak. Mereka juga mengambil serius terhadap kakitangan awam dalam majlis itu sendiri jika terdapat kelakuan penyelewangan atau tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Di sini kita dapat lihat Majlis Syura hanya mengemukakan pendapat, bermuhasabah serta melaporkan kezaliman pemerintah semata-mata. Dan bidangkuasanya amatlah terhad dan terbatas.

5. KESIMPULAN
Jika diperhatikan sejak berkurun-kurun lamanya masalah corak pemerintahan dan pentadbiran yang sesuai untuk sesuatu negara telah diperdebatkan. Semuanya mestilah berdasarkan sesuatu undang-undang yang boleh dipakai bersama agar semua rakyat tidak bertelagah dan mengamalkan sikap tolenrasi dalam setiap perkara atau isu yang berbangkit. Setiap kerajaan dipertanggungjawabkan untuk membawa kemakmuran dan kemewahan kepada rakyat jelata secara am. Hakikat ini ada kaitan dengan hubungan kita dengan Parlimen dan satu Majlis Syura. Ini kerana, kita sebenarnya mempunyai hubungan yang rapat dengan dua institusi ini dalam kehidupan sehari-hari. Kedua-dua institusi inilah yang mengawal selia kita dalam memacu kehidupan kita berlandaskan undang-undang dan syariat. Ia juga memberi hak untuk kita bersuara dan melemparkan pandangan sekiranya muncul sesuatu isu yang timbul yang akan menggugatkan kesejahteraan sejagat. Berdasarkan Parlimen sendiri, mana-mana ahli yang terlibat boleh mengubal rang undang-undang mengenai peraturan yang nak dilaksanakan demi kebaikan rakyat. Begitu juga dalam Majlis Syura di mana konsep bersuara dalam majlis diterjemahkan bagi mengelak kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah umpamanya walaupun ia tidak mempunyai kekebalan dalam mengubal undang-undang seperti di dalam Parlimen.
Secara kesimpulannya terdapat perbezaan antara Parlimen dan Majlis Syura dalam di bawah sistem pemerintahan di negara ini. Antara perbezaannya adalah dari segi fungsi, keanggotaan, status dalam majlis atau dewan, serta komposisi masing-masing. Namun begitu antara persamaan Parlimen dan Majlis Syura yang saya dapat lihat adalah matlamat antara dua institusi ini adalah sama iaitu untuk menjaga keharmonian rakyat, mengawal ketenteraman serta menjaga kebajikan rakyat agar adil dan sempurna.
Maka jelasalah sistem pemerintahan di Negara kita mempunyai sistem yang memberikan hak kepada semua rakyat untuk hidup bersatu dan aman.












No comments: