Tuesday

INTREPRETATION LAW



KEPERLUAN PENTAFSIRAN PERUNDANGAN MENURUT UNDANG-UNDANG DAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

2.1 Pendahuluan

Di dalam bab dua ini, penulis telah menfokuskan kepada beberapa tajuk kecil yang perlu diketengahkan mengenai kaedah pentafsiran perundangan undang-undang serta dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam mengikut sistem hukum syarak. Seperti kita ketahui, kaedah tafsiran biasanya tidak diajar di sekolah undang-undang dan mungkin tidak akan disoal tentang ini dalam peperiksaan. Maka amat mustahak bagi penulis untuk berkongsi ilmu bagi menerangkan sedikit sebanyak pengetahuan tentangnya. Seperti yang diketahui, kaedah pentafsiran ini selalunya hanya digunakan dalam hal-hal yang berkaitan dalam mahkamah sivil sahaja. Namun adakah ia juga diaplikasi di dalam mahkamah syariah di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.

Hipotesis awal mendapati bahawa kaedah-kaedah yang digunakan dalam pentafsiran statut dalam common law adalah berlainan dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di mahkamah syariah. Ini adalah kerana, perundangan Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam pentafsiran undang-undang dan penentuan hukum. Di samping itu, di dalam bab dua ini juga penulisan akan terlebih dahulu melihat pentafsiran undang-undang secara keseluruhannya dalam sistem perundangan Malaysia. Ini bermakna pentafsiran perundangan dalam mahkamah sivil akan turut diperbincangkan. Perbincangan tidak dihadkan setakat pentafsiran dalam mahkamah syariah sahaja malah ianya juga akan menyentuh pemakaian kaedah pentafsiran perundangan ini di dalam mahkamah sivil yang akan dijelaskan pada akhir bab.

2.2 Keperluan Pentafsiran

Mahkamah bukan sahaja berperanan untuk memakai undang-undang yang tertera, malah mahkamah juga adalah bertanggungjawab dalam pentafsiran. Terdapat tiga keperluan utama pentafsiran yang perlu dilakukan oleh mahkamah.

Keperluan yang pertama ialah kerana undang-undang bertulis tidak semestinya terang dan jelas maknanya. Sesuatu perkataan mungkin mempunyai lebih daripada satu makna. Sekiranya ini wujud, mahkamah perlu memutuskan makna yang mana satu yang akan digunakan. Bahasa mempunyai had dalam menyalurkan atau menyerlahkan niat pengubal undang-undang[1]. Oleh sebab itu pentafsiran diperlukan.

Keperluan yang kedua ialah wujudnya lagi kekurangan undang-undang bertulis iaitu penggubal undang-undang tidak dapat menjangkakan kesemua keadaan yang terjadi atau semua kemungkinan berkaitan dengan pemakaian akta tersebut.[2] Oleh sebab sesuatu keadaan itu tidak dijangkakan, penggubal undang-undang mungkin tidak dapat membuat peruntukan yang terperinci untuk kemungkinan tersebut. Dalam keadaan ini, mahkamah perlu mentafsirkan peruntukan yang ada untuk dipakai bagi keadaan yang tidak dijangkakan itu.

Ketiga, satu lagi sebab mengapa perlunya pentafsiran oleh mahkamah ialah kerana penggunaan sistem penentangan dalam kepeguaman. Pihak yang bertentangan dalam suatu pertelingkahan akan mengemukakan pentafsiran yang menolong kes masing-masing. Dalam keadaan ini, mahkamah perlu memilih pentafsiran yang terbaik untuk undang-undang tersebut.

2.3 Pentafsiran

Pentafsiran tentang statut-statut seperti Ordinan-ordinan Malayan Union, Ordinan-ordinan Perseketuan Tanah Melayu dan sebagainya bukanlah satu tugas mudah. Ini kerana ia dipengaruhi oleh beberapa statut tafsiran iaitu:[3]

2.3.1 Ordinan Tafsiran dan Fasal-fasal Am 1984 yang digunakan untuk      
mentafsirkan semua undang-undang di Semenanjung Malaysia yang                       berkuatkuasa sebelum 18 Mei 1967 termasuk undang-undang yang diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

2.3.2 Akta Tafsiran 1967 yang digunakan untuk mentafsirkan semua Akta
Parlimen yang diluluskan pada selepas 18 Mei 1967 dan perundangan kecil yang   dibuat di bawahnya.      
                       2.3.3 Enakmen Tafsiran dan Fasal-fasal Am Sabah ( No. 34 tahun 1963
        yang digunakan untuk mentafsir semua Enakmen Sabah yang ber-
         kuatkuasa pada permulaan Enakmen Tafsiran dan Enakmen-enakmen    yang terkemudian daripadanya

Perkara 160 Perlembagaan Perseketuan memperuntukan tentang tafsiran.[4] Perkara 160      (1) menyatakan bahawa untuk mentafsir Perlembagaan, kita menggunakan Ordinan Tafsiran dan Klausa Am 1984 sebagaimana berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, setakat mana yang dinyatakan oleh Jadual 11 dan menggantikan perkataan Pesuruhjaya Tinggi dengan Yang di-Pertuan Agong, bersama-sama dengan definisi-definisi yang termaktub dalam Perkara 160 (2). Ini bermakna, apabila mentafsir perkataan tertentu dalam Perlembagaan Perseketuan, kita perlu merujuk kepada Perkara 160 Perlembagaan dan Ordinan Tafsiran dan Klausa Am 1948.        


2.4 Kaedah-kaedah Pentafsiran Perundangan
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kaedah-kaedah pentafsiran perundangan yang telah dicipta oleh badan kehakiman Inggeris telah banyak mempengaruhi sistem kehakiman di Malaysia. Di sini, hakim-hakim Malaysia banyak merujuk kepada pendekatan yang digunakan oleh hakim-hakim di England dalam proses pentafsiran statut. Kaedah-kaedah tersebut ialah pendekatan kaedah harafiah, kaedah keemasan, kaedah kemudaratan dan kaedah tujuan.

2.4.1 Kaedah Harafiah ( Literal Rule )

Walaupun diterima bahawa perkataan mempunyai keanjalan dalam maknanya, tetapi kaedah umumnya masih menghendaki para hakim terikat dengan perkataan sesuatu statut apabila perkataan-perkataan ini dengan jelas perlu diikuti dalam situasi yang dihadapkan ke mahkamah. Perkataan mesti digunakan tanpa melakukan apa-apa penambahan atau pengurangan. Lebih tepat lagi, kaedah umumnya ialah mahkamah tidak boleh memperluaskan statut kepada kes yang bukan dalam lingkungan istilahnya. Namun ia mungkin berada dalam ruang tujuan statut itu (casus omissus). Mahkamah juga tidak boleh menghadkan statut itu dengan mengecualikan sesuatu kes yang secara nyata termasuk di bawahnya walaupun mahkamah beranggapan sebaliknya. ( Tidak terdapat nama khusus yang diterima untuk menamakan keadaan ini, tetapi ia mungkin boleh digelar casus male inclusus ). Ini bermakana ia memberi makna biasa kepada perkataan yang dipersoalkan. Pendekatan ini mengandaikan bahawa maksud badan perundangan telah dinyatakan dengan berkesan melalui perkataan-perkataan yang digunakan dalam Akta atau Enakmen untuk ditafsirkan[5]. Ini kerana telah diandaikan bahawa badan Perundangan telah memberi maksud dan makna itu dengan jelas dan berkesan.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa makna literal ini kerap kali bergantung kepada konteks ia digunakan dalam sesebuah statut dan makna akan diketahui dari pembacaan seluruh statut itu. Cara ini dianggap bahawa Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri telah berjaya memberi maksud yang jelas melalui ayat-ayat yang dibuatnya di dalam Akta atau Enakmen. Mahkamah tidak perlu membuat tafsiran yang lain, selain daripada memberi makna asal dan biasa kepada perkataan itu, melainkan jika perkataan atau ayat-ayat di dalam Akta atau Enakmen terdapat kesamaran. Sehubungan dengan itu, Hakim Besar Tindal ketika membicarakan kes Warburton lwn Loveland [1979] MLJ 115 menegaskan bahawa “ Apabila bahasa Akta itu nyata dan terang, kita harus memberi kesan kepadanya, walau apapun akibatnya, kerana di dalam perkara itu perkataan di dalam undang-undang bertulis itu memperkatakan maksud badan perundangan”. Hakim Cussen di dalam kes Kon Fatt Kiew lwn P.P [1935] MLJ 239 berkata, “Ini tentulah bukan istilah teknik atau saintifik. Yang demikian saya mestilah memberikan kepada perkataan-perkataan itu maknanya yang biasa. Jika terdapat keraguan terhadap makna suatu perkataan, saya boleh rujuk kepada sebarang kamus am yang diakui.

2.4.2 Kaedah Keemasan ( Golden Rule )[6]

Kaedah ini digunakan untuk mengelakkan keadaan tidak munasabah. Kaedah ini diikuti setelah mendapati “mengikut ertikata” ia tidak dapat memberi makna biasa kepada perkataan di dalam Akta atau Enakmen itu. Ini kerana, dengan memberi makna biasa, sesuatu perkara tidak dapat memberi maksud apa yang dikehendaki oleh badan perundangan. Maka sebab itu, mahkamah hendaklah berusaha memperluaskan penggunaan perkataan-perkataan sehingga tercapai maksud badan perundangan. Kaedah ini juga digelar sebagai “rukun keemasan”. Ia mempunyai had dan terpakai hanya dalam tiga keadaan. Dalam pemakaian pertama, kaedah ini membenarkan mahkamah memilih makna yang munasabah daripada makna yang tidak masuk akal, apabila kedua-duanya boleh diterima dari segi linguistik. Walaupun makna yang tidak munasabah itu lebih nyata dan biasa, ini tidak diambil kira. Mengikut Lord Reid, apabila suatu peruntukan statut ditafsir dan membawa akibat yang menjurus kepada ketidakadilan maka mahkamah akan berusaha mencari tafsiran lain yang lebih adil.

Pemakaian rukun emas tidak bertentangan dengan rukun harafiah asalkan akibat tidak munasabah yang terjadi sedemikian di pakai dalam statut. Ia diterima sebagai sesuatu kekaburan dalam statut itu. Jika seseorang menerima rukun keemasan, ini bermakna ia menolak pendapat Lord Diplock yang menyatakan keadaan tidak bermanfaat, tidak adil dan tidak bermoral yang terjadi apabila memakai tafsiran ini, maka dengan ini tidak boleh dengan sendirinya ia menjadi sebab untuk mencari sesuatu kekaburan dalam statut itu. Mengikut rukun keemasan, ia boleh menjadi kuasa motivasi yang kuat untuk membawa mahkamah mencari dan menjumpai sesuatu kekaburan.

Dalam kes Re An Advocate [ 1964] MLJ 1 perayu merupakan peguam di Sarawak dan beliau bermastautin di Singapura. Beliau merupakan pengamal undang-undang sebagai peguam. Pada bulan November 1962  beliau telah pergi ke Kuching untuk menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjual pakaian wanita dan menggunakan bilik hotelnya sebagai tempat untuk tujuan perniagaannya. Kes ini telah dibawa oleh Peguam Negara yang mahukan perayu dibuang atau digantung lessen peguamnya kerana melanggar peruntukan seksyen 12(g) Ordinan Peguam (Bab 110) yang berbunyi “ mana-mana peguam boleh digantung dari beramal undang-undang di Sarawak atau namanya dikeluarkan dari senarai peguam melaui perintah oleh seorang Hakim berdasarkan beberapa sebab. Antaranya ialah jika dia adalah peguam bela atau peguam cara di England melakukan perbuatan selain daripda profesion guamannya akan menyebabkan dia digantung atau dibuang dari mengamal undang-undang. Di sini kita dapat melihat adalah salah dari segi undang-undang jika mana seorang peguam melakukan aktiviti lain yang bukan dari pekerjaannya.

Perkataan yang menjadi persoalan ialah “if barrister or socilicitor in England”. Mahkamah memutuskan bahawa perkataan itu tidak membuat sebarang rujukan kepada kelulusan seorang peguam. Untuk memberi perkataan ini makna biasanya akan menyebabkan kita mengenakan standard yang berlainan terhadap perbuatan professional, yang mana ia akan memberi keputusan yang memudaratkan kepada peruntukan-peruntukan Ordinan dan menyebabkan tujuan Ordinan tidak tercapai[7].

2.4.3 Kaedah Kemudaratan ( Mischief Rule )

Adakalanya perkataan-perkataan di dalam Akta atau Enakmen mempunyai kesamaran atau tidak terang maknanya. Dalam hal ini Mahkamah harus memandang kepada tujuan badan perundangan dengan membaca keseluruhan undang-undang tersebut. Dan Mahkamah akan bertanya, apakah kemudaratan yang hendak dielakkan, dan apakah pemulihan yang hendak ditimbangkan, dan apakah tujuan sosial yang hendak dikemukakan oleh badan perundangan. Dengan berpandukan soalan-soalan tersebut, mahkamah boleh menjelaskan kekaburan dan ketidakpastian yang timbul daripada perkataan-perkataan yang terdapat di dalam Akta atau Enakmen.

2.4.4 Kaedah Tujuan ( Purposive Approach )[8]

Kaedah ini merangkumi semua kaedah yang ada iaitu literal, keemasan dan kemudaratan. Ini kerana dalam mentafsir statut mahkamah perlu melihat atau berpandukan tujuan statut itu dibuat. Untuk memudahkan lagi pemahaman melalui kaedah ini, kes United Hokkien Cemeteries v Majlis Perbandaran Pulau Pinang [1979] 2 MLJ 121 dijadikan contoh. Dalam kes ini perkataan yang dipersoalkan ialah ‘columbarium’ ( tempat membakar mayat) termasuk dalam makna ‘semua bangunan yang digunakan khas sebagai tempat pemujaan agama’ seperti yang diperuntukan di dalam seksyen 59(5) maka ia dikecualikan dari membayar cukai pintu. Mahkamah memutuskan bahawa kaedah literal atau memberi makna mengikut nahu perkataan adalah ketinggalan zaman dan diganti oleh kaedah tujuan. Mahkamah dengan itu menggunakan kaedah tujuan kepada perkataan ‘semua bangunan yang digunakan khas sebagai tempat pemujaan agama’ di mana perkataan ‘columbarium’ termasuk dalam makna perkataan tersebut.

2.5 Pentafsiran Undang-Undang Oleh Mahkamah

Perlembagaan Perseketuan adalah salah satu undang-undang bertulis yang tertinggi di Malaysia. Perkara 4 fasal 1 memperuntukan “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Perseketuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.”[9] Konsep yang dipakai oleh Perlembagaan Perseketuan ialah pengasingan kuasa. Mengikut konsep ini kuasa kerajaan terbahagi kepada tiga badan iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Kuasa eksekutif ialah kuasa mentadbir negara berdasarkan undang-undang. Manakala, kuasa badan perundangan ialah kuasa membahas perkara yang berkepentingan awam dan menggubal undang-undang. Kuasa kehakiman pula ialah kuasa menyuraikan dan memutuskan pertelingkahan berdasarkan undang-undang yang terpakai. Dalam membincangkan pentafsiran perundangan, sememangnya ketiga-tiga badan ini turut terlibat tetapi mempunyai peranan yang berlainan. Badan eksekutif selalunya merujuk kepada kabinet, akan membuat polisi dan cadangan penggubalan undang-undang. Rang undang-undang yang dipersetujui oleh kabinet, akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara (bagi perundangan peringkat perseketuan). Badan perundangan di peringkat perseketuan, iaitu parlimen akan membahaskan dan memutuskan samada sesuatu rang undang-undang itu diluluskan. Rang undang-undang yang diluluskan dan diperkenankan oleh yang di-Pertuan Agong akan menjadi undang-undang terpakai.[10]


Penulisan ini akan terlebih dahulu melihat pentafsiran undang-undang secara keseluruhannya dalam sistem perundangan Malaysia. Ini bermakna pentafsiran undang-undang dalam mahkamah sivil akan turut dibincangkan. Perbincanagn tidak dihadkan setakat pentafsiran dalam mahkamah syariah. Pendekatan ini, akan memasukkan perbincangan pentafsiran undang-undang dalam mahkamh sivil yang akan dijelaskan keperluannya.

2.6 Peranan Mahkamah Dalam Pentafsiran

Penggubal undang-undang ialah Parlimen. Undang-undang bertulis ialah satu komunikasi daripada parlimen. Oleh sebab itu niat atau tujuan Parlimen dalam penggubalan undang
undang tersebut perlu diambil kira dalam memahami maksud undang-undang bertulis. Mahkamah perlu mencari apakah niat penggubal undang-undang dan kemudian memberi kesan ke atas niat tersebut dalam mentafsirkan undang-undang  bertulis. Proses ini telah diterima pakai oleh mahkamah.[11] Namun niat penggubal undang-undang yang selalunya dirujuk bukan bermakna niat yang wujud dalam diri penggubal undang-undang. Niat penggubal undang-undang biasanya merujuk niat yang terserlah melalui perkataan dan bahasa yang digunakan di dalam akta. Frasa “niat penggubal undang-undang” tidak diperoleh dengan melihat lipatan sejarah penggublan undang-undang kerana bukan sejarah yang menentukan niat tetapi bahasa dan perkataan yang termaktub yang menentukannya.

Namun kini terdapat perubahan dalam pentafsiran undang-undang di mana mahkmamah telah bersedia untuk melihat rekod perdebatan di Parlimen untuk mengetahui apakah maksud yang diterangkan kepada penggubal undang-undang oleh pencadang ( biasanya seorang menteri ) kepada rang undang-undang tersebut. Penggunaan frasa niat penggubal dalam undang-undang di sini merujuk kepada batasan konsep penggubal sebagai satu badan yang berupaya mempunyai satu minda dan bukan kepada makna perkataan yang termaktub dalam Akta. Misalnya dalam kes Chor Phaik Har lawan Farlim Properties Sdn. Bhd [1994] 3 MLJ 345. Mahkamah Perseketuan telah merujuk kepada laporan perbahasan di Parlimen untuk mencuba mencari tujuan penggubalan suatu pindaan Kanun Tanah Negara.
Namun begitu, makna yang ingin disampaikan ketika perdebatan di Parlimen tidak boleh mengetepikan makna yang jelas dan terang tentang sesuatu akta. Dengan ini, tugas mahkamah sebagai satu badan bebas dalam memakai undang-undang yang digubal perlu memberi kesan terhadap undang-undang yang mereka gubal, bukan untuk memberi kesan terhadap apa yang diniatkan oleh penggubal.[12] Oleh sebab itu mahkamah hendaklah memberi makna yang biasa pada perkataan dalam undang-undang bertulis. Jika tidak, mahkamah akan dituduh sebagai merampas tugasan badan perundangan.
Walau bagaimanapun, gesaan supaya mahkamah hanya memberi makna yang biasa (natural) tidak sepatutnya dibuat sehinggakan pentafsiran undang-undang bertulis terpisah daripada konteks penggubalan tersebut. Dengan kata lain, mahkamah tidak boleh mempertikaikan sama ada badan perundangan telah melakukan sesuatu yang tidak masuk akal ataupun sebaliknya. Inilah yang dikatakan pendekatan atau aturan literal iaitu makna sesuatu perkataan dalam undang-undang diberikan tanpa mengira konteks dan tujuan undang-undang tersebut. Mahkamah kini telah menerima pendekatan di mana pentafsiran perkataan perlu mengambil kira tujuan sesuatu klausa atau akta.

2.7 Pentafsiran Undang-Undang Bertulis Dalam Mahkamah Syariah

Mahkamah syariah semasa mengguna pakai undang-undang bertulis sudah semestinya tidak dapat lari daripada keperluan pentafsiran. Undang-undang bertulis yang melalui proses perkanunan yang sama adalah di peringkat Persekutuan dan juga negeri. Oleh sebab itu, hasilnya juga mempunyai kekurangan atau masalah. Misalnya dalam undang-undang bertulis yang terpakai dalam mahkamah sivil. Sesuatu peruntukan mungkin tidak jelas. Kekaburan itu mungkin memerlukan mahkamah memilih makna yang paling sesuai.[13]

Namun terdapat satu kelainan yang utama dalam undang-undang bertulis tentang hukum syarak. Kelainan itu merujuk kepada kedudukan peruntukan bertulis yang tertakluk kepada hukum syarak. Undang-undang bertulis itu akan menyatakan sekiranya terdapat penentangan dengan hukum syarak, maka peruntukan itu akan terbatal dan undang-undang yang dipakai ialah hukum syarak. Begitu juga sekiranya tidak terdapat peruntukan tentang sesuatu perkara, maka peruntukan hukum syarak terpakai. Justeru itu sekiranya terdapat kemusykilan terhadap sesuatu peruntukan tentang hukum syarak, mahkamah syariah tidak perlu bertanya apakah niat penggubal undang-undang. Soal yang perlu ditanya ialah apakah yang dinyatakan oleh hukum syarak.

Dengan ini, bukan semua peruntukan berkait langsung dengan hukum syarak dalam pengertian hukum fikah. Peruntukan tentang bidang kuasa dan pentadbiran misalnya bukanlah berkait langsung dengan rumusan dalam hukum syarak. Peruntukan seumpama itu adalah hasil daripada rumusan polisi yang diputuskan oleh pihak pentadbir seperti carta organisasi mahkamah dan perkara yang berkaitan dengan undang-undang lain seperti Perlembagaan Perseketuan.

Contoh yang boleh dilihat ialah tentang penentuan bidang kuasa mahkamah syariah. Secara umumnya, penentuan bidang kuasa dan bidang kuasa eksklusif mahkamh syariah yang terdapat di Malaysia kini kebanyakannya bergantung kepada peruntukan Perlembagaan Perseketuan dan undang-undang bertulis yang berkenaan semata-mata. Penentuan sama ada mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam perkara menentukan akidah seseorang yang pada zahirnya beragama Islam ialah berdasarkan Perkara 121 ( 1a ) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitan dalam undang-undang pentadbiran agama Islam sesuatu negeri. Pentafsiran Perlembagaan Perseketuan, sama ada dibuat oleh mahkamah sivil atau mahkamah syariah, perlu didasarkan pada peraturan pentafsiran yang terpakai pada undang-undang bertulis secara umum. Sekiranya pertikaian dibawa ke mahkamah sivil, seperti kes Soon Sigh a/l Bikar Singh lawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) kedah [1999] MLJ 489, satu kes tentang bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah dalam memutuskan sama ada seseorang Islam itu kekal akan keislamannya. Mahkamah sivil akan memutuskan dengan mentafsirkan undang-undang yang bertulis yang berkaitan menggunakan prinsip pentafsiran yang terpakai. Sekiranya pertikaian di bawa ke mahkamah syariah, maka ia terjadi seperti kes Jumaaton & Satu Lagi lawan Raja Hizaruddin [1996] MLJ 346  . Di sini, mahkamah syariah bukan hanya membincangkan hukum syarak, malahan peruntukan undang-undang bertulis yang terpakai.
Selain itu, dalam penentuan kuasa mungkin terdapat permohonan kepada mahkamah syariah supaya mengeluarkan perintah halangan untuk melindungi isteri seperti yang terdapat di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Sudah semestinya mahkamah mengutamakan melihat kepada prinsip asas dalam perundangan Islam dalam memberikan perlindungan kepada pihak yang teraniaya. Tetapi, mahkamah juga perlu menegaskan pengeluaran perintah yang berkenaan pada undang-undang terpakai. Oleh sebab itu, sama ada perintah dapat dikeluarkan dan ia bukan hanya bergantung pada peruntukan undang-undang bertulis yang terpakai. Dalam kes ini, rujukan mungkin tidak perlu dibuat kepada Akta Keganasan Rumah Tangga yang mungkin tidak terpakai ke atas mahkamah syariah. Mahkamah syariah misalnya boleh mengasaskan kuasa mengeluarkan perintah larangan kepada kuasa yang didapati secara implikasi daripada peruntukan undang-undang bertulis. Misalnya, peruntukan kuasa inheren dalam peruntukan Acara Mal, mungkin boleh menjadi dasar kepada kepelbagaian perintah kerana pengeluaran perintah tersebut akan memastikan kebajikan pemohon seperti yang dituntut oleh prinsip keadilan.

2.8 Pentafsiran Mengikut Enakmen Keluarga Islam

Seperti yang kita ketahui Enakmen Undang-undang Keluarga Islam merupakan satu undang-undang yang diletakkan di bawah kerajaan negeri. Ia diguna pakai dalam mahkamah syariah sebagai asas pelaksanaan undang-undang kehakiman Islam. Segala perkara mengenai keluarga seperti perkahwinan, pertunangan, penceraian, dan sebagai nya tertakluk di bawah Enakmen ini.


Dalam contoh kes Hairun binti Mohd Shariff lawan Omar bin Mohd Noor ( 1993 ) 8 JH 289 . Isu yang yang diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan Selangor ialah pentafsiran alasan untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan melaui fasakh kerana penganiayaan. Seksyen 52 (1)(h)(i)[14] menyatakan “lazim menyakiti” ialah satu alasan bagi permohonan fasakh. Mahkamah perbicaraan dalam kes ini memutuskan oleh sebab responden hanya memukul perayu sebanyak dua kali tanpa alasan yang wajar, perlakuan itu bukan satu perbuatan “lazim” seperti yang ditafsirkan dalam Kamus Dewan. Jawatankuasa Rayuan Selangor pula antara lain memutuskan bahawa perlakuan secara fizikal tidak tertakluk kepada Seksyen 52(1)(h)(i) enakmen tersebut yang menggunakan perkataan “menyakitikan”. Jawatankuasa rayuan memutuskan perkataan “menyakiti” sama makna dengan perkataan “assault” iaitu perlakuan mental seperti menakut-nakutkan seorang.
Oleh sebab itu, tiada keperluan agar perlakuan memukul tanpa alasan yang wajar perlu berlaku secara lazim.
Di sini kita dapat melihat seperti contoh di atas, dalam soal perlaksanaan dan pentafsiran undang-undang di mahkamah-mahkamah mengikut sistem kehakiman Islam dalam menjalankan tugas yang sama iaitu mentafsirkan undang-undang yang dibawa di hadapannya. Kewajipan hakim ialah melaksanakan undang-undang yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah. Jika terdapat perkataan atau ayat yang kabur atau yang tidak terang maksudnya, maka mereka harus mencari tafsiran yang jelas. Dalam hal ini tafsiran yang tepat sekali pada maksud perkataan atau ayat itu ialah tafsiran yang dibuat oleh pembuat undang-undang itu sendiri. Maka sesiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya maka mereka berserta dengan orang-orang yang berikan nikmat ke atas mereka daripada nabi-nabi, orang-orang yang benar, syuhada dan orang-orang yang soleh. Para ulama telah menetapkan kaedah umum itu jika terdapat tafsiran yang dibuat oleh al-Quran  atau al-Sunnah atau sahabat, maka tafsiran boleh dibuat oleh para mujtahid yang mempunyai syarat-syarat sebagai seorang mujtahid.  

2.9 Kaedah-Kaedah Fiqh Mengikut Tafsiran Hukum Syarak

Definisi Dan Skopnya

Apabila didapati hukum-hukum Furuq yang sama illah hukumnya maka ia digabungkan di dalam kaedah al-Qawaid al-Kulliyyat al-Ammah. Memandangkan pentingnya kaedah ini, maka ulama telah membincangkan perkara ini dalam satu tajuk yang berasingan iaitu `al-Asybah wa-Nazair’ (perkara yang serupa dan sebanding). Asal penggunaan tajuk ini adalah merujuk kepada kandungan surat Umar yang dihantar kepada Abu Musa al-Asy`ari, katanya:
أعرف الأمثال والأشباه وقس الأمور بنظائرها فأعمد إلى أحبها إلى الله واشبهها بالحاق
Terjemahan: Ketahuilah perkara yang serupa dan yang sama, qiyaskanlah segala perkara dengan sesuatu yang sebanding pada kamu, ambilah mana yang lebih disukai oleh Allah dan dekat dengan kebenaran.[15]

Antara ulama yang terkenal yang mengulas masalh ini dengan panjang lebar ialah Taj al-Din al-Subki, kemudian diikuti oleh al-Sayuti dan Ibn Nujaym dalam karyanya, al-Asbah wa al-Nazair.
Perkara yang dibincangkan di dalam karya mereka ialah tentang kaedah-kaedah umum (al-Qaidah al-Kulliyah). Apa yang dimaksudkan dengan kaedah umum mengikut huraian ulama ialah kaedah ini menyeluruh dan meliputi semua hukum Furuq dalam segala bahagiannya.

Kaedah-kaedah umum yang akan dibincangkan di sini mempunyai sebanyak lima kaedah. Antaranya ialah :

2.9.1 Kaedah Pertama

الأموربمقاصدها  
(setiap perkara diambil kira dengan niat). Kaedah ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

إنما الأعمال بالنيات وإنمالكل امرىء مانوى
Terjemahannya: Sesungguhnya setiap pekerjaan diambil kira dengan niat dan     sesungguhnya setiap orang dikira apa yang diniatkannya.[16]

Bidang fiqh yang termasuk di dalam kaedah ini adalah seperti yang berikut:

  1. Semua perkara yang berkaitan dengan ibadat seperti berwuduk, mandi hadath, mandi sunat, tayammum, sembahyang fardu dan sunat, berimam dan bermakmum, qasar dan jamak, sujud tilawah dan lain-lain.
  2. Hukum keluarga seperti perkahwinan dengan segala keperluannya, penceraian dengan segala keperluannya, rujuk, zihar, aiman, khuluk dan lain-lain.
  3. Hukum urusan muamalat seperti jual beli, sewa-menyewa, gadai-menggadai, hutang-piutang, jamin-menjamin, melepaskan hutang, memindahkan hutang, mewakilkan dan lain-lain.
  4. Hukum jenayah seperti penentuan perbuatan jenayah sengaja dan tidak sengaja dalam pembunuhan, jenayah zina, jenayah curi, jenayah rompak dan lain-lain.

2.9.2 Kaedah Kedua

اليقين لايزال بالنساك (yakin tidak dapat dihilangkan oleh keraguan)[17]. Maksud kaedah ini ialah sesuatu perkara yang tidak diyakini berlaku atau tidak berlaku maka sebarang keraguan yang datang kemudian untuk meragui keyakinan itu tidak akan diambil kira.    
Kaedah ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

إذا وجد أحدكم في بطنه شيئا فأشكل عليه أخرج منه شيء أم لا فلا يخرجن من المسجد حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا
Terjemahan : Apabila seseorang daripada kamu berasa ada sesuatu di dalam perutnya lalu timbul keraguan, adakah keluar sesuatu atau tidak daripadanya, janganlah ia keluar daripada masjid sehingga ia mendengar suara atau menghidu bau.[18]

Hadith ini diriwayatkan oleh muslim daripada Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah.
Terdapat lebih kurang ¾ daripada masalah fiqh yang termasuk di dalam kaedah ini. Untuk pelaksanaan kaedah ini terdapat beberapa kaedah lain bagi melengkapkannya seperti الأصل بقاء ما كان على ماكان (asal sesuatu kekal di atas apa yang sedia ada). Antara contohnya ialah seseorang yang yakin bahawa ia telah berwuduk kemudian datang syak tentang berlaku hadath, maka ia dikira berwuduk berdasarkan keyakinan asalnya. Antara kaedah tambahan untuk pelaksanaan kaedah ini ialah   البراء الاصلية(asal seseorang itu bersih daripada tanggungjawab). Berdasarkan kaedah ini, tidak boleh diterima untuk mensabitkan sesuatu tanggungan daripada seseorang saksi jikalau tidak ada sokongan yang lain, atau disokong oleh sumpah pendakwa. Kaedah ini dapat digunakan apabila berlaku perselisihan tentang harta atau barang yang telah rosak dalam simpanan atau jagaan seseorang seperti penyimpan, perampas atau penyimpan yang menceroboh. Pengakuan yang boleh diterima dalam kaedah ini ialah orang yang menanggung kerugian, kerana pada asalnya mereka itu tidak ada tanggungjawab yang lebih.

Selain itu, terdapat kaedah tambahan yang lain iaitu الأصل في الكلام حقيق (asal perkataan dikira maksudnya yang hakiki).[19] Berdasarkan kaedah ini, jika seseorang mewakafkan sesuatu harta kepada anaknya (walad), maka ini bermakna tidak bermaksud cucunya (walad al-walad). Ini kerana makna yang sebenar perkataan walad ialah untuk anak dan bukannya untuk cucunya.

Kaedah lain sebagai tambahan ialah الأصل العدم (asalnya sesuatu itu tidak ada). Berdasarkan kaedah ini, jika seseorang menafikan bahawa ia telah berhubungan seks dengan seseorang hendaklah diterima penafiannya itu kerana pada asalnya tidak ada hubungan. Begitu juga pengakuan pekerja yang bersyarikatkan dengan pemodal yang menyatakan bahawa perniagaannya tidak ada keuntungan, maka pengakuannya itu hendaklah diterima kerana pada asalnya tidak ada keuntungan.

2.9.3 Kaedah Ketiga

المشقة تجلب التيسير (kesulitan dapat membawa kepada kemudahan). Maksud kaedah ini ialah apabila ada sesuatu kesulitan dan kesusahan untuk melaksanakan sesuatu perintah Allah s.w.t. maka perintah itu diperingankan tidak sebagaimana perintah asalnya. Kaedah ini berdasarkan firman Allah s.w.t :

 ßƒÌãƒ ª!$# ãNà6Î/ tó¡ãŠø9$# Ÿwur ߃̍ムãNà6Î/ uŽô£ãèø9$# (#qè=ÏJò6çGÏ9ur no£Ïèø9$# (#rçŽÉi9x6çGÏ9ur ©!$# 4n?tã $tB öNä31yyd öNà6¯=yès9ur šcrãä3ô±n@ ÇÊÑÎÈ
Maksudnya :
Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur
( Al-Baqarah : 185)

 $tB ߃̍ムª!$# Ÿ@yèôfuŠÏ9 Nà6øn=tæ ô`ÏiB 8ltym `Å3»s9ur ߃̍ムöNä.tÎdgsÜãŠÏ9 §NÏGãŠÏ9ur ¼çmtGyJ÷èÏR öNä3øn=tæ öNà6¯=yès9 šcrãä3ô±n@ ÇÏÈ
Maksudnya :
Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.”
                                                                                                                ( Al-Nahl : 2)
Rasulullah s.a.w juga bersabda  يسروا ولا تعسروا(permudahkan dan jangan kamu menyusahkan). Berdasarkan kaedah ini, para ulama berpendapat bahawa seluruh keringanan dan kemudahan adalah diberikan oleh Syarak sama ada dalam bidang ibadah atau lainnya.

Untuk melaksanakan kaedah ini ada beberapa kaedah lagi yang berkaitan dengannya, antaranya ialah  الضرورة تبيح المحظورات (darurat mengharuskan perkara yang dilarang).
Berdasarkan kaedah ini, diharuskan memakan bangkai dalam keadaan kelaparan yang mendesak atau meminum minuman haram dalam keadaan yang dahaga yang mendesak. Begitu juga diharuskan mengucapkan kata-kata kufur dalam keadaan terpaksa dan harus mengambil harta orang tanpa izinnya kerana hendak melunasi bayaran hutangnya.
Kaedah tambahan seterusnya ialah ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها (apa yang diharuskan kerana keadaan darurat dikira keharusan itu sekadar keharusan sahaja)[20]. Berdasarkan kaedah ini, keharusan memakan bangkai dan meminum minuman haram seperti disebut di atas adalah sekadar keperluan untuk menahan kebuluran dan dahaga sahaja. Dan sebagai kaedah tambahan untuk pelaksanaan kaedah ini ialah,  الحاجة تنزل منزلة الضرورة عامة اوخاصة (keperluan tertentu dikira sebagai darurat sama ada untuk umum atau khusus).

Berdasarkan kaedah ini, diharuskan urusan muamalat seperti sewa-menyewa, sedangkan urusan ini bercanggah dengan qiyas kerana apa yang diakadkan itu adalah terhadap sesuatu yang tidak ada. Diharuskan memidahkan hutang kepada orang lain (hiwalah), ini bermakna menjual hutang dengan hutang. Ia diharuskan kerana kepentingan keperluan hidup. Keperluan ini apabila menyeluruh maka dikira sebagai darurah. Demikian juga halnya, diharuskan melihat perempuan kerana urusan muamalat, perkahwinan dan lain-lain.

2.9.4 Kaedah Keempat[21]

الضرر يزال (kemudaratan itu dihindarkan). Maksudnya apabila ada sesuatu yang dapat mendatangkan kemudaratan kepada sesuatu pihak maka ia mestilah dikekalkan kepada kedudukan asalnya atau dipindahkan kepada keadaan yang lebih ringan daripada asalnya.

Kaedah ini didasarkan kepada sabda Rasullah s.a.w لاضرر ولاضرار (tidak berlaku mudarat dan tidak memudaratkan). Banyak masalah fiqh yang termasuk di dalam kaedah ini sama ada masalah muamalat atau jenayah. Dalam muamalat diharuskan memulangkan barang yang telah dijual kerana ada kecacatan padanya. Begitu juga, diharuskan melaksanakan hukum qisas dan hudud ke atas penjenayah yang sabit kesalahannya.

Antara kaedah tambahan yang ada hubungan dengan kaedah ini ialah  الضرر لايزال بالضرر  (kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan kemudaratan yang lain). Maksud kaedah ini ialah tidak boleh dihilangkan sesuatu perkara yang mudarat jika dengan menghilangkannya akan membawa kemudaratan kepada yang lain. Antara contohnya ialah seseorang berada dalam kebuluran tidak boleh makan makanan orang lain yang berada dalam suasana kebuluran kecuali dia seoarang nabi. Jikalau terdapat dua kemudaratan yang akan berlaku maka ketika itu diberi pilihan untuk melakukan kemudaratan yang lebih ringan seperti diharuskan melaksanakan hukum qiyas dan hudud ke atas penjenayah kerana kemudaratan yang menimpa peribadi lebih ringan daripada kemudaratan yang menimpa masyarakat natijah daripada perbuatan jenayahnya. Maka untuk tujuan itu ada lagi beberapa kaedah lain seperti إذا تعارض مفسدتان يقدم أخفهما ضررا (apabila bertemu dua kemudaratan maka mestilah dihindarkan kemudaratan yang lebih besar dan melakukan kemudaratan yang lebih ringan). Dan juga kaedah ( درء المفاسد مقدم  على جلب المصالح menghindar kemudaratan lebih utama daripada mendapatkan kebajikan)[22]. Kaedah ini dapat digunakan apabila bertemu antara kemudaratan dengan kebajikan maka ketika itu menolak kemudaratan adalah lebih utama daripada mengambil kebajikan seperti diharuskan berbuka puasa jika berada dalam kesusahan musafir.

2.9.5 Kaedah Kelima

 العادة محكمة(Adat menentukan hukum). Kaedah ini didasarkan kepada sabda rasulullah s.a.w :

ما رأء المسلمون حسنا فهو عند الله حسن
Terjemahan : Apa yang difikirkan oleh orang Islam baik maka ia adalah baik di sisi Allah s.w.t.[23]

Hadith ini dikatakan mawaquf daripada kata-kata Abdullah bin Mas`ud yang dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya.

Banyak masalah fiqh yang termasuk di dalam kaedah ini, antaranya penentuan had umur baligh bagi budak lelaki, penentuan masa haid yang paling pendek dan paling panjang bagi perempuan dan penentuan najis sedikit atau banyak yang dapat menghalang ibadat atau tidak menghalangnya, maksudnya ia boleh dimaafkan. 


3.9 Kesimpulan

Dalam mentafsir statut, berbagai-bagai anggapan boleh dipakai. Di sini, pengamal perundangan dan mahkamah perlu menguasai kaedah pentafsiran bagi memastikan matlamat sesuatu undang-undang bertulis itu tercapai melalui pemakaian undang-undang tersebut dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian. Kaedah pentafsiran yang terpakai kini tidak hanya membenarkan mahkamah memberi makna literal kepada sesuatu peruntukan undang-undang. Adalah satu kewajipan ke atas mahkamah untuk mencari tujuan dan cara yang efektif sesuatu undang-undang itu ditafsir agar segala permasalahan dapat diselesai dengan telus tanpa kekaburan.

Dari segi keluasan dan kesempurnaannya, undang-undang Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Mengandungi soal-soal akidah, akhlak, ibadah, muamalat dan sebagainya. Ia tidak boleh dibezakan dan dipisahkan. Tidak boleh dipakai sebhagian dan dibuang sebahagian yang lain. Sifat kesempurnaannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia di dunia dan di akhirat, telah meletakkan undang-undang Islam mengatasi undang-undang Malaysia yang hanya bersumberkan kepada peraturan-peraturan undang-undang yang menjadikannya undang-undang iaitu kepada undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis. Ini adalah kerana undang-undang Malaysia tidak sempurna dan tidak merangkumi seluruh kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya undang-undang Islam bersifat fleksibel kesesuaiannya serasi dengan zaman dan fitrah manusia.
Walaupun undang-undang Islam mempunyai kaedah pentafsiran tersendiri, dalam kerangka sistem perundangan semasa, mahkamah syariah perlu menggunakan kaedah pentafsiran yang dipakai dalam mahkamah sivil terutamanya dalam penentuan bidang kuasa. Pendekatan ini akan mengelak pertentangan keputusan antara keputusan mahkamah syariah dan mahkamah sivil yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah. Dengan ini segala pemakaian pentafsiran tersebut dalam merujuk kepada sumber perundangan Islam, sudah semestinya mahkamah syariah menggunakan kaedah pentafsiran yang diterima dalam perundangan Islam



[1] Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd. Hisham Mohd. Kamal & Farid Sufian Shuaib. 2005. Kaedah Perundangan Bidang Kuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 59.
[2] Ibid. Hlm. 60.
[3] Noor Aziah Mohd Awal. 2004. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. International Law Book Services. Hlm.103.

[4] Wu Min Aun. 1985. Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd. Hlm. 62.
[5] Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned. 2002. Sistem Undang-Undang di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 143.
[6] Noor Aziah Mohd Awal.2004. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. International Law Book Services. Hlm.113.

[7] Ibid. Hlm. 115
[8] Ibid. Hlm. 117
[9]  Hapriza Ashari, Khariah Soehod dan Lekha Laxma. 2005. Prinsip Undang-Undang Malaysia. Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
[10] Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd Hisham Mohd Kamal dan Farid Sufian Shuaib. 2005. Kaedah Perundangan Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 57.

[11] Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned. Commissioner of  Stamps, Straits Settlements lwn Oei Tjong Swan ( 1933). MLJ 107. Hlm. 108. Sussex Peerage Case (1984). 11 CX fin 85. Hlm.142 Op.cit. Hlm 153.
[12] Michael Zander. 1999. The Law-Making Process. Edisi Kelima. Butterworths : London. Hlm. 177.
[13] Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd Hisham Mohd Kamal dan Farid Sufian Shuaib. 2005. Kaedah Perundangan Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 167.

[14] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor.
[15] Sumber dari kitab Al-Nawawi. Minhaj al-Talibin. Hlm. 500.
[16] Bukhari, Sahih, Qahirah t.t. Juz 1. Hlm. 31.
[17] Ab.Latif dan Rosmawati Ali. 2001. Perbahasan Usul Al-Ahkam. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd. Hlm. 73.
[18] Mahsamani, Falsafat al-Tashri fi al-Islam. Hlm. 84.
[19] Ibid. Hlm. 71.
[20] Ibid. Hlm. 72.
[21] Mahsamani, Falsafat al-Tashri fi al-Islam. Hlm. 33.
[22] Ibid. Hlm. 28.
[23] Al-Nawawi. Minhaj al-Talibin. Hlm. 604

No comments: