Thursday

Mahkamah Rayuan benarkan rayuan pelajar UKM cabar AUKU




Mulanya empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Hilman Idham (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis pada 22 April 2010, di Pekan Rasa dan Ampang Pecah semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Atas kejadian ini, keempat-empat mahasiswa ini di dakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 yang berbunyi :

15 (5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap-

a) Mana-mana parti politik sama ada di ada di dalam atau di luar Malaysia.

Apabila Mahkamah Universiti UKM memutuskan keempat-empat mahasiswa ini bersalah, mereka membawa kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan mencabar tindakan pusat pengajian tinggi itu mendakwa mereka di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Mereka mencabar seksyen itu yang didakwanya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada kebebasan bersuara dengan kepercayaan dan keyakinan rakyat harus bebas daripada sebarang kawalan kerajaan atau parti politik).
Keempat-empat pelajar tersebut diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah dan Hariss Ibrahim.
Sementara itu, pihak defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2011 telah menolak saman pemula yang dikemukakan oleh empat mahasiswa UKM ini.

Apabila kes dibawa ke Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hishamudin Yunus dan Linton Albert (keputusan hakim secara majoriti 2-1) pada 31 Oktober 2011 lalu menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) tidak melanggar Perlembagaan.

Bagi yang mereka yang tidak begitu tahu mengenai sistem perundangan, mungkin menyangkakan begitulah cara perundangan dijalankan di Malaysia. Ada kalanya keputusan memihak dan kadang kalanya keputusan tidak memihak ke mana-mana pihak yang dibicarakan.

Sebenarnya dalam kes empat mahasiswa UKM ini adalah jelas menunjukkan bagaimana perlembagaan sesebuah negara adalah hukum tertinggi yang tidak boleh ditentang oleh mana-mana akta dan oleh sesiapa pun.

Jika ada mana-mana akta atau tindakan mana-mana pihak yang bertentangan dengan perlembagaan, dengan sendirinya (akta tersebut atau tindakan tersebut) terbatal. Sebenarnya isu yang penting dalam hal ini ialah masyarakat bukan sahaja tidak faham, malah (atau) tidak ambil peduli tentang isu perlembagaan dan yang lebih teruk tidak diberitahu (diberi hak) mengenai hak-hak sedia ada yang termaktub dalam perlembagaan.

Ini menyebabkan adanya akta dan perundangan yang digunakan tanpa memperdulikan perlembagaan. Sebagaimana contoh  AUKU, amnya berkaitan Kaedah Tatatertib Pelajar (1975) yang mana telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (Artikel 10).

Secara dasarnya saya tidak mahu mengulas isu Prof Dr Abdul Aziz Bari yang telah dikenakan tindakan Timbalan Rektor Akademik UIAM dengan peruntukan perundangan yang ada kerana kes ini sudah menjadi kes polis dan polis sedang melakukan siasatan.

Bagaimanapun saya ingin berkongsi dengan email dari seorang rakan akademik kepada saya beberapa hari lalu. Saya siarkan sebahagian emailnya tanpa sebarang ubahsuai.

“………. Sebenarnya kami ahli akademik tidak berdiam diri dalam isu Aziz Bari ini walaupun kebanyakannya lebih suka menyepi tanpa menyatakan sama ada menyokong atau tidak menyokong Aziz Bari dalam isu kebebasan bersuara sebagai ahli akademik ataupun mengikut hak bersuara dalam perlembagaan sedia ada.

Ada yang mengesyorkan agar dirujuk semula kepada Deklarasi Menyeluruh Hak Kemanusiaan (Universal Declaration of Human Rights) UNESCO menyenaraikan Kebebasan Akademik di antaranya ialah Hak kepada pendidikan (artikel 26), Hak berkongsi kemajuan saintifik (artikel 27), Hak tanpa halangan menyertai kehidupan berbudaya (artikel 28), Hak kepada maklumat, termasuk kebebasan bersuara dan berpendapat (artikel 19).

Tidak kurang juga yang selesa dengan takrifan kebebasan akademik mengikut pandangan Prof Ulung Dr Mohd Kamal Hasan (ISTAC), rujuk Berita Harian 27 Oktober 2011. Kata Prof Ulung Dr Mohd Kamal Hassan. "Ahli akademik tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak mana-mana kumpulan luar atau desakan parti politik, tetapi mestilah memberi pandangan mereka secara beretika, bertanggungjawab, tidak egoistik, tidak emosional, tidak berpihak dan sedar akan batas-batas etika atau tatasusila tempatan. Kebebasan akademik tidak bererti kebebasan mutlak, tetapi ahli akademik mempunyai kebebasan bersuara dan memberi pandangan ilmiah sesuai dengan kepakaran bidang masing-masing".

Terbaru Azmi Shahrom ada menulis di kolumnya di The Star, 3 November 2011 berkenaan isu ini dan juga tentang "constitutionality of law".

Kalau berkesempatan baca juga yang diperkatakan oleh Prof Tan Sri Sharifah Hapsah dan Prof Madya Dr Azmi (UTM).

Tidak lupa juga Akademia, Menjelang Tahun 2000, terbitan 1991, oleh Wan Manan Wan Muda & Haris Md. Jadi (USM), di mana isu-isu yang dibangkitkan 20 tahun dulu tetapi masih relevan dengan isu kini.”

No comments: