Wednesday

Kedudukan Bahasa Melayu Dalam Perlembagaan



1. PENGENALAN

Bahasa Melayu telah mengalami proses perkembangan yang begitu pesat. Sejak merdeka, bahasa Melayu telah dinaikkan martabat sebagai bahasa kebangsaan yang menggantikan bahasa Inggeris yang ketika itu menjadi bahasa rasmi tunggal negara, dan dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat menengah tinggi sampai ke peringkat pengajian tinggi. Selain itu, bahasa Melayu menjadi pendukung dan berperanan sebagai bahasa perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan beragam bahasa.

Dasar bahasa kebangsaan merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Dasar ini memenuhi konsep perancangan taraf bahasa. Dengan adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, langkah-langkah berikutnya barulah dilakukan iaitu propaganda, pembinaan dan peluasan penggunaan bahasa pilihan itu. Dasar bahasa di Malaysia meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang terkandung dalam Perkara 152 dalam Perlembagaan Perseketuan. Perkara 152 ( menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatisnya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152  dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerjaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Maka dengan ini jelaslah menunjukkan bahawa peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan itulah yang menjadi dasar bagi perkembangan bahasa Melayu seterusnya di Malaysia.

Proses penentuan dasar melibatkan aspek perancangan bahasa secara berperingkat-peringkat. Kita sedia maklum bahawa, negara kita mempunyai pelbagai kaum dan bahasa. Oleh itu, Negara kita perlu membentuk satu dasar bahasa yang sedemikian rupa. Disebabkan Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang menuturkan pelbagai bahasa maka kita perlukan satu bahasa kebangsaan. Soal bahasa mana yang harus dipilih adalah satu isu lain, namun dalam hal ini bahasa Melayulah yang telah dipersetujui oleh pihak yang bertanggungjawab (UMNO, MCA dan MIC) sebelum Malaysia ( dahulunya Persekutuan Tanah Melayu) yang mencapai kata sepakat dalam pemilihan bahasa ini. Malah bahasa Melayu juga pada ketika itu merupakan bahasa bumiputera negara ini, mempunyai bilangan penutur yang teramai, dan bahasa yang dituturkan sebagai lingua franca di kalangan rakyat Malaysia ketika itu.
 2. DEFINISI BAHASA MELAYU

2.1 Mengikut Kamus Dewan
Berlandaskan Kamus Dewan bahasa berbawa maksud sistem lambing bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam satu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan atau fikiran ( Kamus Dewan 1998 : 37 ). Manakala Melayu didefinisikan sebagai nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya ataupun nama suku bangsa terutama sekali di Semenanjung Tanah Melayu ( Kamus Dewan 1998 : 440 ). Oleh itu boleh disimpulkan bahawa bahasa Melayu adalah kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan yang diterima dan digunapakai oleh rakyat sesebuah negara sebagai alat perhubungan dan juga menjadi kebanggaan negara.

2.2 Mengikut Perlembagaan Perseketuan
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu adalah termaktub dalam Perkara 152 mengikut Perlembagaan Malaysia. Di bawah artikel 152 mengatakan bahawa Perlembagaan Malaysia itu sendiri memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Ini terbukti Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda (Edisi Feb 2006 ).

Perkara 152. Bahasa kebangsaan memperuntukan :
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa :
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.
(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—
(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkanoleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.
(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.



3. PERANAN SERTA FUNGSI BAHASA MELAYU

3.1 Bahasa Kebangsaan
Bahasa jiwa bangsa. Tidak sesiapa yang dapat menyangkal bahawa bahasa adalah tunggak jati diri bangsa. Jika hilang satu bahasa, maka lenyaplah satu bangsa. Menurut Tunku Abdul Rahman, “adalah wajar bahawa sebagai satu Negara membangun kita memerlukan satu bahasa kepunyaan sendiri”. Jika bahasa kebangsaan tidak diadakan, negara kita akan ketiadaan nyawa ( Wong & Ee 1971: 78 ).
Semasa Malaysia masih dijajah oleh British, bahasa Inggerislah telah digunakan seluas-luasnya  sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran. Tidak ada usaha yang konkrit dijalankan untuk memilih sebuah bahasa kebangsaan. Namun demikian, keprluan untuk menubuhkan sebuah bahasa kebangsaan semakin mendesak selepas kemerdekaan Negara pada tahun 1957. Pada masa itu, hanya lebih kurang 10% daripada bilangan penduduk Negara ini yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Untuk membolehkan penduduk Malaysia menjalankan hal-hal ehwal pentadbiran negara sendiri, sebuah bahasa yang luas dipergunakan amat diperlukan. Tambahan pula, sebagai sebuah Negara yang baru merdeka, maka perlulah sebuah bahasa kebangsaan diwujudkan untuk melambangkan identiti yang sama bagi semua kaum yang tinggal di Malaysia. Justeru itu, keperluan untuk menubuhkan bahasa kebangsaan amat mendesak pada ketika itu.
Setiap Negara yang merdeka memiliki sebuah bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti negaranya. Selain itu dapat memenuhi keperluan sebagai lambang penyatuan, penubuhan, satu bahasa kebangsaan juga timbul ekoran daripada desakan semangat kebangsaan. Dalam hal ini bahasa Melayu dipikir selayaknya dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana jika diikut peratusan bilangan penduduk, penduduk Melayulah paling ramai iaitu 43%, manakala penduduk Cina dan India masing-masing 36% dan 8%. Tambahan pula bahasa Melayu yang dituturkan pada masa itu mempunyai keseragaman dan teratur dan semua mampu menggunakannya. Dengan itu bahasa Melayu secara langsungnya termaktub sebagai bahasa Kebangsaan yang tunggal di Malaysia dan melambangkan identiti kebangsaan sehingga kini.
3.2 Asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Perkara ini termaktub dalam Perkara 152 (1). Hal ini disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara ini mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini pula boleh difahami oleh setiap kaum. Lagipun peruntukan ini adalah berdasarkan penduduknya. Oleh yang demikian. Dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai  asas yang kukuh untuk membina sebuah negara.

3.3 Lambang jati diri
Bahasa Melayu mempunyai lambang, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya Negara Jepun dengan hasa Jepunnya, Negara Jerman dengan Bahasa Jermannya dan Negara Perancis dengan Bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai lambang Negara Malysia di persada dunia. Dengan hal demikian, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

3.4 Bahasa Perpaduan
Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara beraulat. Di Malaysia ini, terapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum.
Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara penduduk yang berbilang kaum.

Dengan ini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah memainkan peranan yang penting untuk meyatupadukan semua kaum di Negara ini. Ini selaras dengan pendapat Garvin dan Mathiot ( 1968 ) yang mengatakan bahawa fungsi simbolik sesuatu bahasa standard ialah fungsi penyatuan. Dalam hal ini, bahasa itu boleh bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama, dan dengan sedemikian menyatukan mereka ke dalam satu masyarakat bahasa. Hasil daripada penyatuanpaduan ini, akan wujudlah satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia. Penyatupaduan rakyat sesebuah Negara jarang berlaku dengan hanya bersefahaman dalam politik dan agama sahaja. Akan tetapi bahasa yang merupakan alat pengisi pemikiran dan alat untuk melahirkan pendapat dan fikiran itu merupakan alat perpaduan yang sebaik-baiknya. Dalam hal ini, bahasa Melayu mendukung tanggungjawab dalam perpaduan rakyat Malaysia.


3.5 Bahasa Pengantar Ilmu Pengetahuan
Konsep bahasa Melayu sebagai “bahasa ilmu” mula diperkenalkan dalam tahun 90-an seiring dengan penekanan “budaya ilimu” pada masa yang sama setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan. Sebelum ini ketika tahun 80-an, konsep tersebut lebih dikenali sebagai “bahasa Ilmiah” ( Nik Safiah 1986 dan Abdullah Hassan 1987 ).
Bahasa Ilmu ialah bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi dan ianya memainkan peranan sebagai bahasa pengantar kepada ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.

3.6 Bahasa Rasmi
Bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan Negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya. Melihat akan fungsi bahasa rasmi itu, maka bahasa kebangsaan juga boleh dijadikan bahasa rasmi sesebuah Negara. Namun demikian, bahasa rasmi tidak perlu merupakan bahasa kebangsaan semat-mata kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan semangat kebangsaan.
Di Malaysia, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan sejak tahun 1957 hingga 1969, tetapi dalam urusan rasmi, dalam pemerintahan dan sebagainya, bahasa Inggeris masih digunakan di samping bahasa Melayu, malahan bahasa Inggeris mengatasi bahasa Melayu dalam konteks urusan sesebuah Negara. Walaupun bagaimanapun, mulai 1969, bahasa Inggeris hilang kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan temapatnya digantikan dan telah diisi oleh bahasa Melayu.
Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggal di Malaysia. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu telah digunakan sepenuhnya sebagai bahasa urusan pentadbiran kerajaan dan telah digunakan sepenuhnya sebagai urusan bahasa pentadbiran kerajaan dan sebagai bahasa perbahasan di Parlimen dan di Dewan Perundangan Negeri umpamanya. Dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman, dan mahkamah, kedudukan bahasa Melayu sebagi bahasa mahkamah bertambah baik setelah seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda (Jun 1991). Penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk tulisan misalnya dalam surat-mesyuarat  rasmi, minit mesyuarat dan dokumen kerajaan yang lain termasuk Akta, buku rancangan pembangunan Malaysia, ucapan belanjawan Menteri Kewangan, dan sebagainya.

4. KEDUDUKAN DAN TARAF BAHASA MELAYU

4.1 Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
Dalam perlembagaan Perseketuan pada perkara 152 ( Edisi Jun 1970 ) termaktub :
152 ( 1) Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh parlimen.
Dengan syarat bahawa :
(a ) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan ( bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain.
Falsafah dan sikap tegas Perlembagaan kita mengandungi kebijaksanaan. Di samping memberi tempat istimewa kepada bahasa Melayu, ia menjamin kedudukan bahasa kaum lain. Ini besar ertinya kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia, yang menuturkan pelbagai bahasa.

4.2 Akta Bahasa Kebangsaan
Akta Bahasa Kebangsaan ( Tambahan No.18 ) 1963, membuat tambahan dalam hal : maksud rasmi, terjemahan, perlanjutan penggunaan bahasa Inggeris ( termasuk dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen ), teks sahih undang-undang ( termasuk undang-undang bertulis sebelum 1.9.1967 ), bahasa mahkamah, tulisan bahasa kebangsaan, bentuk angka dan barang.
Pada tahun 1967 diadakan satu lagi Akta Bahasa Kebangsaan (Tambahan No. 57), ada sembilan tambahan. Akta tersebut kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 menjadi Akta Bahasa Kebangsaan 1967, bahasa kebangsaan mestilah digunakan bagi maksud-maksud rasmi, kecuali dalam beberapa kes tertentu seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris, dan berhubungan dengan negara luar.
Berhubung dengan pendidikan, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah. Mulai tahun 1958, bahasa Melayu diperkenalkan sebagai bahasa pengantar di kelas-kelas menengah aliran Melayu yang selepas itu menjadi sekolah menengah kebangsaan. Dalam tahun 1983, universiti-universiti tempatan buat pertama kali menerima pelajar tahun pertama yang berpendidikan keseluruhannya dalam bahasa pengantar bahasa Melayu.

4.3 Akta Pendidikan
Akta Pendidikan 1961 menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Hal ini dinyatakan dalam perkara Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, iaitu:
DAN BAHAWASANYA peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar dilaksanakan secara berkesan, termasuk khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.

Sebelum itu Penyata Razak (1956 ) dan Penyata Rahman talib ( 1960 ) telah menyatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Negara. Penyata Razak telah menyatakan hasrat untuk “…menubuhkan suatu peraturan pelajaran kebangsaan..”, dan tujuannya ialah :

“..menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar ( utama ), walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan diperbuat dengan beransur.” ( Penyata Razak 1956 : Perenggan 12 ).

Penyata Rahman Talib menegaskan kembali syor menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum semua sekolah. Ini dapat dirumuskan dari :
“bahawa Bahasa Kebangsaan ini hendaklah diajar mulai Darjah 1 dalam semua sekolah rendah Cina, Tamil dan Inggeris ( sama ada sekolah bantuan, bantuan separuh tau sekolah-sekolah yang bersendiri.” ( Penyata Rahman Talib 1960: Perenggan 71 (c) ).
Seterusnya jawatankuasa itu mengesyorkan:
“ Pelajaran rendah dalam Bahasa Kebangsaan akan dimajukan dengan mengadakan pelajaran menerusi Bahasa Kebangsaan di sekolah yang dahulunya sekolah rendah kerajaan, dengan syarat ada guru-guru yang sesuai, dan semua sekolah rendah bantuan akan diubah menjadi sekolah kebangsaan ataupun sekolah jenis kebangsaan…”(Penyata Rahman Talib 1976 : Perenggan 371 (c) ).

Kemudian Akta Pendidikan 1996 diadakan dengan tujuan menggantikan Akta Pelajaran 1961. antara alasannya ialah bahawa kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan utama di rantau ini, dan bahasa Inggeris perlu diwajibkan di semua peringkat persekolahan ( bahasa Melayu walaupun dikatakan sebagai bahasa pengantar ternyata dikecualikan dalam keadaan tertentu). Kedudukan Bahasa kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996 dijelasakan pada perkara 17 (1 ) iaitu :
“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.
(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan iti.” (Akta Pendidikan 1996 : Perenggan 17).
5. ISU BAHASA DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Sebenarnya isu cabaran dan penghinaan yang dihadapi bahasa Melayu nampaknya tidak pernah reda. Lepas satu isu, satu isu yang lain pula akan muncul. Bagi pihak media cetak pula tidak jemu isu ini digembar-gemburkan serta memaparkannya apatah lagi apabila membabitkan kenyataan dan ulasan oleh para pemimpin negara.
Di sini kami cuba bawakan dua isu mengenai bahasa Melayu yang timbul setakat beberapa hari ini. Satunya ialah berkenaan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para peguam. Satu lagi ialah berkaitan dengan isu bahasa Inggeris sebagai bahasa penggantar sains dan matematik.

5.1 Isu Penggunaan Bahasa Melayu Di Mahkamah Dan Penguasaan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Para Peguam
Pada pendapat saya, kedua-dua isu terbaru ini dan isu-isu lain yang berkaitan dengan status bahasa Melayu boleh diselesaikan dengan mengenalpasti sebab puncanya berlaku. Saya tertarik perhatian kepada asas pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, Fasal 152.
Masyarakat sering dikhabarkan bahawa kedudukan bahasa Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Namun demikian ada sebahagian fasal tersebut yang dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh dilarang daripada digunakan, malah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja terutama penutur jati masing- masing. Walaupun banyak pihak (termasuk Datuk Azian Osman - seorang peguam, Senator, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur yang mempertikaikan papan tanda pelbagai bahasa di kawasannya) yang menyangka bahawa Fasal 152 itu begitu luhur dan dapat menjamin kedudukan bahasa Melayu, tetapi hakikatnya ialah bahasa Melayu terpaksa juga bersaing dengan bahasa-bahasa lain. (Dr. Sharifudin Lubis, Pensyarah Kanan,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia).
Secara sedar atau tidak, syarat yang dikenakan dalam fasal itu membolehkan sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Banyak situasi majlis rasmi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa (yang dihadiri oleh hanya seorang dua orang asing) yang memperlihatkan para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.
Malah masih ramai pula peguam (rakyat Malaysia dan menerima pendidikan bidang guaman sepenuhnya di Malaysia) tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbicaraan di mahkamah. Kesemua mereka tidak boleh disabitkan sebagai melanggar Perlembagaan kerana Perlembagaan membolehkan bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan. Tidak cukup dengan itu, status bahasa Melayu sebagai akar perpaduan rakyat negara ini juga tidak dipedulikan, terutamanya yang membabitkan dasar-dasar sosial termasuk pendidikan.
Dalam keadaan yang sedemikian, satu badan telah diperkenalkan atas nama dasar PPSMI yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir kerana kehilangan peranannya sebagai bahasa pengantar dominan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Selain itu, ada sesetengah pemimpin yang tidak bersikap 'kepimpinan melalui teladan'. Ini adalah kerana mereka lebih mengutamakan bahasa lain selain bahasa Melayu ketika berkomunikasi antara sesama pemimpin orang Melayu. Jurang komunikasi inilah yang menjadikan isu perpaduan kaum semakin parah.

5.2 Isu Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Penggantar Sains Dan Matematik
Pada tahun 1993, Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti.
Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.
Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru (yang tidak pula berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (kini Tun Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.
Beberapa kajian ilmiah di peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu telah menunjukkan tanda awal bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing.
Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.
Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapat kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).
Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut
Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri. (Hassan Ahmad, Bahasa melayu sebagai teras 2001: 6).


5. KESIMPULAN
Secara jujur, perlu diakui bahawa masih wujud masalah semangat dan kesungguhan yang belum cukup mantap dan hakiki dalam penggunaan bahasa Melayu. Fenomena ini berlaku, melalui peristiwa-peristiwa bahasa Melayu kehilangan tempat dalam upacara dan majlis rasmi di peringkat kebangsaan, apatah lagi pelbagai isu yang timbul melibatkan institusi pendidikan negara dicabar dengan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa penggantar lebih diutamakan daripada bahasa ibunda kita sendiri. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya.
Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta.
Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden. Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ``satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun.
Di sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.
Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing. Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri?
Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Pertama, sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun!
Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan (seperti Gapena dan Awang Sariyan dalam Mingguan Malaysia, 5 Mac 2006) amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Ini kerana keazaman politik amat diperlukan.
Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden tetapi sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri.
Perlu ditegaskan bahawa bukan isu antibahasa asing diperbahaskan tetapi prinsip kita jelas dan tegas mengatakan pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.


















No comments: