Wednesday

Pusaka dalam Islam


1-Pengenalan

          Ilmu Pusaka adalah salah satu dari cabang Ilmu Fiqh yang sangat diambil berat oleh Islam dan dipandang sangat tinggi nilainya.Oleh itu Islam disamping menyuruh umatnya mempertingkatkan sistem pusaka Islam dengan betul, dan memberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba meringan-ringankan atau meninggalkan sistem Ilahi ini, ia menyuruh kita mempelajari dan mengajarnya. Antara dalil-dalilnya ialah seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Darul Qutni di bawah ini:-

“Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Sabda Rasulallah saw : Hendaklah kamu mempelajari Ilmu Faraid dan ajarkanlah akannya, kerana ia adalah setengah ilmu, ia adalah dilupakan dan ia adalah sesuatu yang mula dicabutkan dari umatku”.

Dan sabda baginda saw lagi:-

“Daripada Abdullah Bin Amru, bahawa Rasulallah saw telah bersabda: Ilmu itu ada tiga jenis, dan yang lainnya adalah satu kelebihan, iaitu Ayat Quran yang bersifat hukum (Muhkamah) atau Sunnah(hadis) yang sahih atau Faridhah(pembahagian Pusaka) yang adil.” (Riwayat Abu Daud).

 2. Pusaka Mengikut Syarak

Ialah suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak setelah yang berhak dahulu itu mati, kerana ada hubungan kerabat, suami isteri atau wala’ atau perjanjian.
(* Maksud hak ialah semua jenis-jenis hak yang merangkumi harta benda dan lainnya seperti hak qisas dan shafaat.)

3. Rukun-rukun Pusaka  
Sepertimana ilmu-ilmu yang lain, Pusaka juga mempunyai rukun-rukunnya bagi memastikan pusaka dapat ditentukan dengan sah mengikut hukumnya. Di bawah ini dijelaskan rukun-rukunnya iaitu:-
i-   Pewaris ( Si mati)
ii-  Waris ( ahli waris yang berhak )
iii- Sesuatu yang hendak diwaris ( harta atau sebagainya)

4. Sebab-sebab Pusaka
Selain daripada rukun, sistem pusaka dalam Islam melihat juga kepada beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu berhak menerima harta pusaka keluarganya yang telah meninggal dahulu itu. Dengan sebab-sebab inilah seseorang waris itu boleh mendapat pusaka iaitu:- 
i- Pernikahan                     ii- Kerabat                  iii- Wala’ (pembebasan hamba)
Di dalam surah An-Nisaa’:12 merupakan dalil yang menunjukkan salah satu sebab perwarisan ialah melalui perkahwinan. Maknanya:

“Dan bagimu (suami-isteri) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tingalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.”

5. Syarat-syarat Pusaka

Selain daripada rukun dan sebab, sistem pusaka Islam juga telah menentukan syarat-syarat bagaimana seharusnya pusaka itu dibahagikan iaitu:-
i- Pewaris mati dahulu
ii-Waris hidup semasa kematian pewaris
iii. Tidak ada perkara yang boleh menegah waris drp menerima pusaka iaitu:-
a. Perhambaan                   b. Membunuh pewaris               c. Berlainan agama

6. Cara Pembahagian Pusaka

Anak-anak

Pada dasarnya, pembahagian harta pusaka dalam wasiat Allah bagi anak-anak adalah, "bagi (seorang) lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan", jika ada dua anak perempuan (2x = 1x + 1x). Ini bermaksud, anak lelaki yang seorang itu mendapat separuh dan dua anak perempuan mendapat separuh juga (50-50).
Tetapi "jika mereka perempuan-perempuan yang lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada apa yang dia meninggalkan," bererti, anak lelaki yang seorang itu mendapat 1/3 sementara anak-anak perempuan yang berjumlah lebih daripada 2 mendapat 2/3.
Dan disuratkan lagi, "tetapi jika dia (perempuan) seorang, maka baginya separuh" atau dengan jelas, bermaksud, jika yang ditiggalkan adalah seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka mereka akan mendapat separuh seorang daripada harta yang ditinggalkan (50-50).
Bagaimana pula, kalau terdapat 2 orang anak lelaki atau lebih dan 1 orang anak perempuan? Maka kami andaikan supaya balik kepada dasar iaitu bahagian seorang lelaki serupa bahagian 2 perempuan seperti kiraan: 
2 lelaki (+ +) + 1 perempuan = 2x + 2x (+ +) + 1x.
Dan seterusnya bagi bilangan anak perempuan yang bertambah (~ + 1x + 1x ....)
Demikian itu adalah pembahagian harta pusaka apabila terdapat kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan. Bahagian bagi anak perempuan didapati tidak tetap, bergantung pada bilangan mereka. Bahagian bagi lelaki juga turut dipengaruhi oleh bilangan perempuan.
Dengan itu, kami berpendapat bahawa sekiranya si mati tidak meninggalkan seorang pun anak lelaki maka harta yang ditinggalkannya, yang diuntukkan bagi anak-anak, diserahkan kesemuanya kepada anak atau anak-anak perempuan. Begitu juga dengan anak lelaki. Sebab, Tuhan tidak menyuruh supaya diserahkan bahagian anak lelaki (yang tiada itu) kepada mana-mana pihak luar. Malah, Dia tidak menyuruh memberi kepada sesiapa yang di luar keluarga, dalam apa saja situasi bagi pembahagian harta pusaka, kecuali kepada "orang-orang yang terikat dengan sumpah".

Isteri dan Suami

Bagi isteri, "bagi mereka (isteri), satu per empat (1/4) daripada apa yang kamu meninggalkan jika kamu tidak ada anak."
Akan tetapi, "jika kamu ada anak, maka bagi mereka (isteri), daripada apa yang kamu meninggalkan, satu per lapan (1/8)." Baki setelah diberi bahagian isteri, iaitu 7/8, barulah dibahagi antara anak-anaknya.
Bagi suami pula - "bagi kamu, separuh (1/2) daripada apa yang isteri-isteri kamu meninggalkan, jika mereka tidak ada anak;"
"Tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka meninggalkan, satu per empat (1/4)."
Ibu Bapa
Ibu bapa juga termasuk dalam pembahagian harta pusaka - "kepada ibu bapanya, kepada setiap seorang daripada keduanya, satu per enam (1/6) daripada apa yang dia meninggalkan, jika dia ada anak." Dari itu, jumlah bagi kedua-dua mereka adalah 2/6 atau 1/3.
Sehingga di sini, adalah baik jika dibuat kiraan, misalan, bagi seorang lelaki yang meninggal dunia dan meninggalkan isteri, anak-anak dan ibu bapa:
Isteri = 1/8 (3/24) = 12.5%
Ibu & bapa = 1/3 (8/24) = 33.33%
Anak-anak (baki) = 13/24 = 54.16%
Atau meninggalkan salah seorang daripada ibu bapanya sahaja, maka kiraannya adalah seperti berikut:
Isteri = 1/8 (3/24) = 12.5%
Ibu atau bapa = 1/6 (4/24) = 16.66%
Anak-anak (baki) = 17/24 = 70.83%
Kembali kepada ibu bapa. Bagi si mati yang hanya meninggalkan ibu bapa sebagai waris, "maka satu per tiga (1/3) bagi ibunya, atau jika dia ada saudara-saudara lelaki, maka bagi ibunya satu per enam (1/6)."
Hanya ibu yang disebut di situ. Tiada bapa. Mungkin tidak silap mengandaikan sekiranya bapa masih hidup maka ibunya mendapat 1/6 sahaja, sama seperti bapa.
Ibunya mendapat 1/6 juga jika si mati ada meninggalkan saudara-saudara lelaki.

7. Harta Lebihan Pusaka

7.1 Takrif

          Ia merupakan hartanah yang diperolehi dari kematian yang tidak meninggalkan waris yang berhak menghabisi pembahagian faraid atau disebabkan status benda yang diwarisi samara-samar identitinya. Sebagai contohnya jika si pewaris seorang anak yatim piatu yang bujang maka hartanya tidak dapat dibahagikan lalu diserahkan kepada baitulmal.

7.2 PENGURUSAN HARTA FARAID (MILIK MAIS)

Bagi negeri Selangor, Unit Faraid Bahagian Mal telah ditubuhkan bagi menguruskan terimaan harta faraid (milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang berbentuk harta alih dan harta tak alih. Ini termasuklah wang tunai, saham, royalti, kenderaan, rumah, tanah dan seumpamanya.

          Seramai 5 orang kakitangan telah dipertanggungjawabkan melancarkan proses penerimaan dan pengurusan harta faraid (milik MAIS) di Negeri Selangor. Di antara tanggungjawab kakitangan unit ini adalah:
a. Menghadiri perbicaraan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil Daerah
b. Menjalankan siasatan ke atas hartanah dan pemohon
c. Membuat carian rasmi di Pejabat Tanah Daerah
d. Menyelesaikan masalah hartanah seperti pencerobohan, jual beli, pertukaran
    suka sama suka dengan pihak waris
e. Menentukan lokasi dan sempadan bahagian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
f.  Mendaftarkan nama MAIS ke dalam hakmilik
g. Membuat permohonan Ulang Bicara
h. Memastikan bayaran tebusan diselesaikan sepertimana yang dipersetujui
    di dalam perjanjian penebusan
i.  Menjalankan siasatan bagi penebusan pusaka yang mengalami tunggakan pembayaran
          Kewujudan Unit ini juga secara tidak langsung telah membantu pihak MAIS mendapatkan sumber kewangan bagi kegunaan dan perbelanjaan pengurusan. Selain itu pengurusan yang lancar juga telah membantu MAIS mengumpul aset kekal seperti hartanah dan rumah. Sebagai contoh pada tahun 2006 sahaja dianggarkan sebanyak 50 kes baru yang diterima di mana kesemuanya memberikan sumbangan kepada MAIS.

          Peningkatan tugasan dan tanggungjawab kakitangan unit ini dilihat semakin mencabar dari masa ke semasa. Di antara cabaran yang perlu dilalui dalam menguruskan harta faraid milik MAIS ini adalah menyelesaikan masalah tunggakan pembayaran penebusan. Seperti sedia maklum hartanah yang diperolehi dari kematian yang tidak meninggalkan waris yang berhak menghabisi pembahagian faraid akan ditawarkan kepada waris yang berminat untuk mendapatkan kembali hartanah tersebut dengan cara membayar wang penebusan. Walau bagaimanapun peluang yang diberikan kepada mereka untuk menebus bahagian MAIS tidak digunakan sebaiknya. Ada di antaranya mengambil masa yang terlalu lama bagi menyelesaikan pembayaran penebusan. Ada juga yang sengaja melambat-lambatkan pembayaran dan hanya akan membuat pembayaran setelah diberikan notis amaran. Bukan itu sahaja ada juga di antara penebus-penebus ini tidak memberikan kerjasama dan menyebabkan pihak MAIS mengambil tindakan undang-undang.

          Pemahaman masyarakat tentang hak MAIS di dalam harta faraid umat islam juga merupakan satu cabaran yang perlu ditanggani. Kebanyakan dari mereka berpandangan bahawa MAIS telah merampas harta milik nenek moyang mereka tanpa ada sebab-sebab yang munasabah. Pandangan negetif seperti ini menyebabkan mereka tidak memberikan kerjasama yang baik serta memandang remeh tentang hak MAIS di atas harta pusaka tersebut.

         
Selain itu unit ini juga berdepan dengan masalah pencerohohan tanah oleh pihak ketiga. Memandangkan penyelesaian harta pusaka ini memakan masa yang lama telah membuka ruang kepada pihak yang berkepentingan menggunakan dan mengaut keuntungan dari hartanah milik MAIS. Ada di antaranya telah menggunakan bahagian milik MAIS dengan membina rumah-rumah sewa, meletakkan haiwan ternakan, bercucuk tanam dan sebagainya. Keadaan ini telah menyebabkan kakitangan unit ini terpaksa membuat pemantauan bagi memastikan keadaan ini terkawal.















                                                            


















7.4 Pewartaan Berkenaan Harta Lebihan Pusaka

NEGERI SELANGOR
Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA
GOVERNMENT OF SELANGOR GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 55
No. 10
9hb Mei 2002
TAMBAHAN No. 5
PERUNDANGAN

Sel. P.U. 11.


ENAKMEN PENTADBIRAN PERUNDANGAN ISLAM 1989
FATWA TENTANG PENEBUSAN HARTA LEBIHAN FARAID
YANG DISERAH KEPADA BAITULMAL, MAIS
Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’, membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.
JADUAL
                        (1) HARUS bagi Baitulmal menggunakan wang sendiri untuk menebus semula tanah lebihan faraid yang ditawarkan kepada Baitulmal.

                        (2) Baitulmal mempunyai hak ‘Syuf’ah’ ke atas tanah milik waris yang terdapat di atas bahagian tanah yang turut sama mengandungi bahagian Baitulmal.

                        (3) Baitulmal mempunyai hak ‘Syuf’ah’ dan berhak menghalang waris tanah dari menjual bahagiannya kepada yang bukan Islam.

                        (4) Baitulmal berhak membuat keputusan samada hendak menyerahkan secara percuma atau sebaliknya bahagian milik Baitulmal kepada waris yang tergolong dalam golongan fakir dan miskin.

Dibuat pada 16 Januari 2001
Made 16 January 2001.
[Mufti Sel. 500-2; PU. Sel. AGM/0007 Jld. 2]
DATO’ HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID
Dato’ Seri Utama DiRaja
Mufti Negeri Selangor

Kesimpulan

            Harta Pusaka merupakan harta yang dibahagikan kepada waris apabila pewaris meninggal dunia. Hal ini penting bagi menjamin kehidupan para waris tidak berada di dalam keadaan papa walaupun kematian pewaris. Namun begitu, masyarakat sekarang begitu kurang yang mengetahui tentang fungsi atau tujuan sebenar disyariatkan oleh Islam. Mereka ingin membolot keseluruhan harta bagi kepentingan dunia semata-mata. Di sinilah tugas besar yang perlu dipikul oleh Majlis Agama Islam Negeri bagi menangani masalah yang berkaitan dengan harta pusaka. Segala lebihan harta pusaka hendaklah diurus dengan betul dan pantas bagi mengelakkan sebarang kesulitan berlaku.Pendedahan serta penerangan perlu diberikan kepada masyarakat supaya mereka memahami perkara yang berkaitan dengan harta pusaka ini


No comments: