Pages

Wednesday

KONSEP SUMPAH MENURUT AKTA KETERANGAN 1950


1. DEFINISI SUMPAH

Kalau dilihat kepada definisi sumpah adalah seakan sama dengan janji hanya pada retorik bahasa tetapi berbeza dari segi konsep dan istilah penggunaanya. Ini kerana sumpah menyatakan dengan penuh kesungguhan berhubung dengan perkara yang mungkin berlaku atau tidak mungkin berlaku, dan telah berlalu atau yang akan datang.
Sumpah beerti pengakuan yang dibuat dengan bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci untuk menguatkan apa yang dikatakan. Ini bermaksud pengakuan bahawa apa yang dikatakan itu memang benar dan berani melakukan sesuatu dan berani menderita sesuatu jika pengakuannya itu tidak benar. ( Mahmud Saedon A. Othman 2003 : 103-108)
Dengan kata lain, sumpah hanya dikaitkan dengan sesuatu keadaan yang memerlukan saksi bercakap benar ketika prosiding keterangan dari saksi yang dijalankan dalam menentukan hak seseorang. Sebagai contoh, sesuatu perkara itu mungkin akan dilakukan oleh seseorang dan mungkin tidak. Tetapi dengan melakukan sumpah bermakna ia telah memutuskan dengan pasti, sungguh-sunggug dan dengan menyertakan nama Tuhan beerti ia telah mengukuhkan kenyataan dan keazamannya itu.
Menurut Akta Sumpah dan Ikrar 1949, sumpah dikatakan dalam tafisrannya yang mana hendaklah ia dipakai di semenanjung Malaysia sahaja.

2. FUNGSI SUMPAH
Antara fungsi sumpah adalah untuk menguatkan dakwaan atau menolaknya. Ini adalah kerana sumpah itu digunakan untuk menguat dan mengukuhkan sesuatu perkara supaya jelas. Dengan itu ia dapat membantu menghilangkan kesamaran, seperti seseorang bersumpah dengan nama Tuhannya.
Fungsi lain adalah untuk  menjadikan ia salah satu alat bukti dan secara tidak langsung menjadi penguat dari alat bukti tersebut. Ini kerana setiap kesaksian yang tidak jelas disertakan sumpah menguatkan lagi dakwaan ketika saksi bercakap benar ketika prosiding keterangan dijalankan. ( Jaz Zabdi Mohd Yusuff 2003: 234)

3. MENGAPA SUMPAH DIPERLUKAN?
3.1             Membentuk jiwa disiplin.
3.2             Mendorong bersikap amanah.
3.3             Memotivasi kerja secara professional.
3.4             Memberi rasa takut, jika melanggar tugas yang keluar dari norma-norma kebenaran.

4. KONSEP SUMPAH MENURUT AKTA KETERANGAN 1950
Konsep sumpah di dalam Akta Keterangan 1950 hanyalah melibatkan sumpah saksi untuk bercakap benar sebelum memberi keterangan. Walaubagaimanapun, setiap sumpah yang dibuat ketika memberi keterangan adalah berkaitan dengan akta Sumpah dan Ikrar 1949.
4.1 Sumpah dalam keterangan kanak-kanak yang masih mentah

Seksyen 133A Akta Keterangan 1950 memperuntukkan:

Jika, dalam mana-mana prosiding terhadap mana-mana orang kerana apa-apa kesalahan, mana-mana kanak kanak yang masih mentah yang dipanggil sebagai saksi tidak, pada pendapat mahkamah memahami apa sebenarnya sesuatu sumpah itu, keterangannya bolehlah diterima, walaupun diberikan dengan tidak mengangkat sumpah, jika, pada pendapat mahkamah, dia mempunyai akal yang cukup bagi mewajarkan penerimaan keterangannya itu, dan dia faham tentang kewajipan bercakap benar; dan keterangannya, walaupun diberikan dengan tidak mengangkat sumpah, tetapi selainya diambil dan diubah ke dalam bentuk bertulis menurut seksyen 269 Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593] hendaklah disifatkan sebagai suatu deposisi mengikut pengertian seksyen itu:

Dengan syarat bahawa, jika keterangan yang diterima menurut kuasa seksyen ini diberikan bagi pihak pendakwaan, tertuduh itu tidak boleh disabitkan atas kesalahan itu melainkan jika keterangan itu disokong dengan keterangan material lain yang menyokong keterangan tersebut dan melibatkannya”.

Prinsip amnya ialah keterangan sokongan adalah diperlukan apabila seseorang kanak-kanak memberikan keterangan dan mahkamah harus menentukan sama ada kanak-kanak tersebut boleh memberi keterangan bersumpah atau sebaliknya. Apabila seorang kanak-kanak dipanggil untuk menjadi seorang saksi, maka mahkamah hendaklah menentukan sama ada kanak-kanak ini faham atau tidak tentang kepentingan becakap benar. Proses ini boleh dilakukan dengan mengemukakan beberapa soalan kepada kanak-kanak berkenaan.

Di dalam kes Sidek bin Ludan v P.P [1995]3 MLJ 178, terdapat dua orang kanak-kanak yang telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan. Semasa perbicaraan, kanak-kanak tersebut yang berumur lapan dan sembilan tahun telah memberi keterangan di atas sumpah setelah mahkamah mendapati mereka faham erti sumpah dan keperluan bercakap benar. Walaubagaimanapun, di dalam kes Lee Mion v P.P [1934] MLJ 124, mahkamah telah mengarahkan seorang saksi kanak-kanak yang berumur 11 tahun memberi keterangan tanpa sumpah.

Jika mahkamah mendapati kanak-kanak iti tidak faham erti sumpah, kanak-kanak berkenaan masih boleh memberi keterangan tanpa sumpah. Jika keterangan seorang kanak-kanak iti diberikan tanpa sumpah, maka tertuduh tidak boleh disabitkan dengan pertuduhan kecuali keterangan kanak-kanak tersebut di sokong oleh keterangan material yang lain seperti yang dinyatakan dalam seksyen 133A AK. 

Walaubagaimanapun, jika kanak-kanak itu didapati faham erti sumpah dan keperluan bercakap benar, maka mahkamah boleh membenarkan kanak-kanak tersebut memberi keterangan atas sumpah. Amaran hendaklah diberikan oleh mahkamah bahawa adalah berbahaya untuk mensabitkan seseorang tertuduh berdasarkan keterangan oleh saksi kanak-kanak yang memberi keterangan bersumpah jika keterangan tersebut tidak disokong.
4.2     Akta Sumpah dan Ikrar 1949 (Akta 194)

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, sumpah dalam Akta Keterangan !950 hanyalah berkaitan dengan keterangan saksi dalam sesuatu kes. Walaubagaimanapun, sumpah tersebut hendaklah dikendalikan berdasarkan kepada Akta Sumpah dan Ikrar 1949 (Akta 194). Di bawah tajuk kecil ini, kami telah menyenaraikan beberapa seksyen yang amat penting di dalam akta tersebut.

4.2.1  Kuasa untuk mengendalikan sumpah dan ikrar

Seksyen 4. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan :

Semua mahkamah dan orang yang mempunyai, mengikut undang-undang, atau dengan perintah rujukan oleh mana-mana mahkamah, atau dengan persetujuan pihak-pihak, kuasa untuk menerima keterangan adalah diberi kuasa untuk mengendalikan, oleh mereka sendiri atau oleh pegawai yang diberi kuasa oleh mereka bagi maksud itu, sumpah dan ikrar dalam melaksanakan kewajipan atau dalam menjalankan kuasa yang diberikan kepada mereka masing-masing sebagaimana yang disebut terdahulu”.

Semua mahakamah dan orang yang telah diberi kuasa mengikut undang-undang atau dengan perintah rujukan oleh mana-mana mahkamah atau yang telah dipersetujui oleh mana-mana pihak untuk menerima keterangan adalah berkuasa untuk mengendalikan sumpah.

4.2.2  Orang yang dikehendaki mengangkat sumpah

Seksyen 6. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan:

“(1) Tertakluk kepada seksyen 7, sumpah hendaklah diangkat oleh orang yang berikut:

(a) saksi, iaitu, semua orang yang boleh diperiksa dengan sahnya, atau yang memberikan atau dikehendaki memberikan keterangan, oleh atau di hadapan mana-mana mahkamah atau orang yang mempunyai, sebagaimana yang tersebut dalam seksyen 4, kuasa untuk memeriksa orang itu atau untuk menerima keterangan;

(b) jurubahasa bagi soalan yang dikemukakan kepada dan keterangan yang diberikan oleh saksi;

(c) penterjemah; dan

(d) ahli juri.

(2) Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menjadikannya perlu dikendalikan kepada jurubahasa rasmi mana-mana mahkamah, atau kepada jurubahasa yang diperakui dalam penggajian Kerajaan Malaysia atau mana-mana Kerajaan Negeri apabila dia sedang menjalankan tugasnya, setelah jurubahasa rasmi atau jurubahasa yang diperakui itu memulakan tugas jawatannya, suatu sumpah bahawa dia akan menunaikan tugas itu dengan sebenarbenarnya”.


Seksyen ini memperuntukkan bahawa, orang yang dikehendaki untuk bersumpah bercakap benar di mahkamah adalah saksi, jurubahasa kepada saksi, penterjemah dan ahli juri. Seksyen ini juga memperuntukkan bahawa sumpah tidak akan dikenakan kepada jurubahasa rasmi mana-mana mahkamah dan jurubahasa yang diperakui dalam pengajian kerajaan Malaysia atau Kerajaan Negeri ketika mereka menjalankan tugasnya kerana satu sumpah bahawa mereka akan menunaikan tugas itu dengan sebenar-benarnya telah dibuat sewaktu mereka mula menyandang jawatan tersebut.


4.2.3  Jika sumpah dikehendaki ikrar boleh dibuat
Seksyen 7. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan

Jika mana-mana orang dikehendaki oleh Akta ini atau oleh mana-mana undang-undang bertulis lain supaya mengangkat sumpah, maka keperluan itu hendaklah disifatkan telah dipatuhi jika suatu ikrar dibuat ”.

Seksyen ini menjelaskan bahawa tuntutan bersumpah akan dianggap telah terlaksana jika orang yang dituntut untuk bersumpah telah berikrar.

4.2.4  Keterangan orang yang umurnya belum matang
Seksyen 8. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan:

Mana-mana orang yang oleh sebab umurnya belum matang tidak sepatutnya pada pendapat mahkamah dibenarkan untuk memberikan keterangan atas sumpah atau ikrar hendaklah dibenarkan untuk memberikan keterangan setelah diberikan amaran oleh mahkamah supaya bercakap benar, semuanya benar, dan tidak lain daripada yang benar belaka”.

Seksyen ini berkait rapat dengan seksyen 133A Akta Keterangan 1950 yang menghendaki mahkamah memberi amaran kepada saksi kanak-kanak mengenai keterangan bersumpah sebelum mereka memberi keterangan mengenai sesuatu kes.

 4.2.5  Kuasa mahkamah untuk menawarkan sumpah atau ikrar tertentu
Seksyen 10. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan:

Jika mana-mana pihak atau saksi dalam mana-mana prosiding kehakiman menawarkan, atau apabila dicabar, bersetuju untuk memberikan keterangan atas sumpah atau ikrar mengikut apa-apa bentuk yang lazim di kalangan atau dianggap mengikat oleh orang daripada ras atau kepercayaan pihak atau saksi itu dan tidak bertentangan dengan keadilan atau kesusilaan, dan tidak berupa sebagai menjejaskan mana-mana orang ketiga, mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini sebelumnya, menyebabkan sumpah atau ikrar itu ditawarkan kepadanya”.


Mahkamah berhak untuk menawarkan sumpah atau ikrar sekiranya terdapat pihak atau saksi yang bersetuju untuk bersumpah ataupun berikrar apabila dicabar oleh suatu pihak yang lain bagi mengikat rasa kepercayaan pihak yang lain tersebut terhadap keterangan yang diberi olehnya jika kelakuan tersebut tidak bertentangan dengan keadilan dan kesusilaan serta tidak menjejaskan mana-mana pihak ketiga.

4.2.6  Tatacara jika suatu pihak menawarkan untuk terikat dengan sumpah atau ikrar
Seksyen 11. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan:
(1) Jika mana-mana pihak kepada sesuatu prosiding kehakiman jenis sivil menawarkan untuk terikat dengan mana-mana sumpah atau ikrar sebagaimana yang tersebut dalam seksyen 10, jika sumpah atau ikrar itu dibuat oleh pihak yang satu lagi itu atau oleh mana-mana saksi dalam prosiding itu, mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, menanyai pihak yang satu lagi atau saksi itu, atau menyebabkan dia ditanya, sama ada atau tidak dia akan membuat sumpah atau ikrar itu:

Dengan syarat bahawa tiada pihak atau saksi boleh dipaksa untuk hadir sendiri di mahkamah hanya bagi maksud menjawab soalan itu.

(2) Jika pihak atau saksi itu bersetuju untuk membuat sumpah atau ikrar sedemikian, mahkamah boleh mengendalikannya, atau, jika lebih sesuai, boleh memberi kuasa mana-mana orang untuk mengendalikannya dan mengambil keterangan daripada orang yang kena bersumpah atau berikrar itu, dan mengembalikannya kepada mahkamah.

(3) Keterangan yang diberikan demikian hendaklah, terhadap orang yang menawarkan untuk terikat sebagaimana yang disebut dahulu, menjadi bukti muktamad mengenai perkara yang dinyatakan itu.

(4) Jika pihak atau saksi itu enggan membuat sumpah atau ikrar sedemikian, dia tidak boleh dipaksa untuk membuatnya, dan juga tidak boleh ditanya sebab kenapa dia enggan membuatnya, tetapi mahkamah hendaklah merekodkan, sebagai sebahagian daripada prosiding itu, jenis sumpah atau ikrar yang dicadangkan itu, hakikat bahawa dia telah ditanya sama ada dia mahu membuatnya dan bahawa dia telah menolaknya, berserta dengan apa-apa alasan yang dinyatakannya secara sukarela mengenai keengganannya”.

Apabila terdapat pihak yang mencabar seseorang saksi untuk bersumpah bagi mengikat kepercayaan sesuatu pihak terhadap keterangan yang diberi, mahkamah hendaklah menyoal saksi tersebut samada dia bersetuju untuk bersumpah atau tidak.

Sekiranya saksi tersebut enggan untuk bersumpah, mahkamah tidak boleh memaksa saksi untuk melakukan sumpah tersebut. Mahkamah juga tidak berhak menyoal saksi tersebut mengapa dia enggan untuk melakukannya. Mahkamah hendaklah merekodkan penawaran sumpah tersebut sebagai sebahagian daripada prosiding perbicaraan dan menyatakan bahawa saksi telah ditanya mengenai persetujuan sumpah tersebut berserta dengan apa-apa alasan yang diberikan oleh saksi tersebut secara sukarela.

Sekiranya saksi bersetuju untuk bersumpah, mahkamah ataupun sebaiknya pihak yang telah diberi kuasa hendaklah mengendalikan sumpah tersebut serta mengambil keterangan daripada saksi tersebut dan dikembalikan kepada mahakamah. Keterangan yang dibuat dengan cara ini, akan menjadi bukti yang muktamad terhadap perkara yang dinyatakan tersebut. 


4.2.7  Prosiding dan keterangan tidak dijadikan tidak sah oleh peninggalan sumpah atau ketidakteraturan
Seksyen 12. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan:

Tiada peninggalan untuk mengangkat apa-apa sumpah atau membuat apa-apa ikrar, tiada penggantian mana-mana satu dengan salah satu daripadanya, dan tiada apa-apa jua ketidakteraturan pada bentuk yang salah satu daripadanya dikendalikan, boleh menjadikan tidak sah mana-mana prosiding atau menjadikan tidak boleh diterima apa-apa jua keterangan yang mengenainya atau yang berkenaan dengannya peninggalan, penggantian atau ketidakteraturan itu berlaku, atau boleh menjejaskan kewajipan seseorang saksi untuk menyatakan yang benar”.

Suatu prosiding dan keterangan tidak akan dianggap tidak sah  sekiranya keterangan saksi tidak disertakan dengan sumpah untuk bercakap benar. Prosiding dan keterangan juga tidak akan dianggap sebagai tidak sah sekiranya berlaku ketidakaturan sewaktu saksi memberi keterangan.

4.2.8  Orang yang memberikan keterangan terikat untuk menyatakan yang benar
Seksyen 13. Akta Sumpah dan Ikrar 1949 memperuntukkan:

Tiap-tiap orang yang memberikan keterangan mengenai apa-apa perkara di hadapan mana-mana mahkamah atau di hadapan orang yang diberi kuasa oleh Akta ini untuk mengendalikan sumpah dan ikrar hendaklah terikat untuk menyatakan yang benar mengenai perkara itu”.

Setiap orang yang dikehendaki untuk memberi keterangan oleh mahkamah hendaklah menyatakan keterangan yang benar-benar sahaja mengenai perkara yang menghendaki orang tersebut memberi keterangan. Jika orang yang dikehendaki memberi keterangan oleh mahkamah didapati berbohong, mahkamah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang tersebut melalui undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Sumpah dan Ikrar 1949, seksyen 14 (1) perenggan kedua:

“maka sahlah di sisi undang-undang bagi Mahkamah itu untuk memanggil saksi itu untuk memberikan sebab (dengan serta-merta atau pada tarikh kemudian) kenapa dia tidak boleh dihukum secara terus kerana memberikan keterangan palsu dan, jika saksi itu tidak dapat memberikan apa-apa sebab, maka saksi itu hendaklah dihukum secara terus kerana menghina—

(i) jika Mahkamah itu ialah Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi, dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih daripada tiga bulan atau denda tidak lebih
daripada lima ratus ringgit;

(ii) jika Mahkamah itu ialah Mahkamah Sesyen, dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih daripada dua bulan atau denda tidak lebih daripada tiga ratus ringgit;

(iii) jika Mahkamah itu ialah Mahkamah Majistret Kelas Pertama, dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih daripada satu bulan atau denda tidak lebih daripada satu ratus ringgit”.

 5. CONTOH-CONTOH KES YANG BERKAITAN

5.1 [1995] 3 MLJ 178
Sidek bin Ludan v Public Prosecutor
Case Details:
Malaysia

Judges ABDUL MALIK ISHAK J

Date 30 JANUARY 1995

Citation [1995] 3 MLJ 178



Perayu telah disabitkan di atas dua tuduhan merogol kanak-kanak berumur sembilan tahun dan dihukum penjara selama tujuh tahun bermula dari 6 Jun 1993 di atas kedua-dua tuduhan dan diarahkan untuk dijalankan bersama.

Mahkamah perbicaraan menggantungkan perlaksanaan menantikan keputusan rayuan. Perayu berhujah bahawa: (i) kegagalan mahkamah perbicaraan untuk mencatitkan pemeriksaan permulaan ke atas mangsa dan kedua orang saksi kanak-kanak berumur sembilan dan lapan tahun, untuk mengetahui kebolehan mereka untuk memahami dan memberi jawapan yang munasabah adalah salah; (ii) sebelum menerima keterangan saksi kanak-kanak mahkamah perbicaraan sepatutnya perlu ‘voire dire’ untuk menentukan kompetennya saksi kanak-kanak itu; dan (iii) keterangan yang diberikan oleh ibu simangsa sepatutnya diberi perhatian teliti kerana dia ada sebab tersendiri iaitu kerana perayu telah menolak lamaran untuk berkahwin. (Jurnal Hukum 2006 : 245-263)
Diputuskan:
Mahkamah memutuskan,mengenepikan rayuan ini:

(1) Mahkamah perbicaraan telah membuat pemeriksaan permulaan di atas saksi kanak
kanak seperti yang di arahkan oleh s 133A Akta Keterangan 1950 (‘Akta berkenaan’) dan telah membuat kesimpulan yang betul bahawa mereka memahami sifat sumpah yang dikenakan ke atas mereka. Berapa pun umur seseorang budak, dia boleh menjadi saksi bersumpah dalam kes jenayah jika budak itu boleh memahami sifat sumpah atau memahami kewajipannya untuk bercakap benar. Oleh itu, saksi kanak-kanak dibenarkan memberi testimoni bersumpah di hadapan mahkamah perbicaraan kerana keadaan kompeten seseorang bergantung bukannya di atas umur tetapi kefahamannya.

(2) Untuk menentukan jika seseorang saksi kompeten, tidak memerlukan ‘voire dire’. Jika seorang saksi kompeten boleh diuji tanpa memerlukan ‘voire dire’, tidak seperti isu kesukarelaan kenyataan tertuduh yang dibuat setelah diberi amaran, yang mana jika dicabar, mestilah melalui ‘voire dire’.

(3) Di dalam kes yang berkenaan dengan saksi kanak-kanak di bawah sumpah mestilah diberi amaran mengenai bahayanya sabitan tertuduh tanpa sokongan keterangan. Di sini, mahkamah perbicaraan menggunakan budi bicaranya dalam memperlakukan keterangan saksi-saksi kanak-kanak dengan penuh hati-hati dan memberi amaran kepada dirinya bahawa keterangan bersumpah yang disampaikan oleh saksi kanak-kanak mestilah disokong oleh keterangan yang akan mengesahkan kebenaran testimoni kanak-kanak itu.
(4) Keterangan si mangsa telah disokong oleh keterangan dua orang doktor yang telah memeriksanya dan perayu. Di dalam kes seperti ini, keterangan perubatan yang dikemukakan oleh pendakwa cukup untuk menyokong keterangan mangsa. Juga, keterangan mangsa disokong oleh saksi-saksi pendakwa.

Kesimpulan dalam kes ini, faktor umur tidak diambil kira tetapi pemahaman diambil kira dan bicara dalam bicara tidak diperlukan. Kesan kepada pindaan Akta Keterangan seksyen 133A dimasukkan, Mahkamah tidak boleh lagi menggangapnya sebagai amaran dan `prudence and practice` tetapi sebagai peraturan undang-undang keterangan saksi kanak-kanak yang diberi tidak bersumpah perlu di sokong. Dalam kes ini keterangan diberi secara bersumpah. Mengikut kes (Loo Chuan Huat v PP [1971] 2 MLJ 167) keterangan yang bersumpah kanak-kanak juga perlu di sokong sebagai `prudence and practice` dan keterangan saksi telah di sokong dengan laporan dari doktor. Rayuan telah ditolak.

5.2 PUBLIC PROSECUTOR V MOHAMMAD TERANG BIN AMIT ,1999-1 MLJ 154

Perayu telah dituduh kerana mencabul kehormatan 3 orang budak perempuan berumur 10 tahun sehingga 12 tahun. Keterangan saksi mangsa diberi secara tidak bersumpah. Terdapat juga dua orang lagi saksi pelajar lain memberi keterangan tidak bersumpah. Mahkamah memutuskan keterangan saksi tidak bersumpah tidak boleh menyokong keterangan saksi tidak bersumpah lain. Ia mestilah dari keterangan material bebas lain. (Jurnal Hukum 2006 : 275)

[Keterangan keperluan keterangan kanak-kanak remaja/orang muda berumur 14 – 18tahun].

5.3 THAM KAI YAU & ORS v PUBLIC PROSECUTOR [1977] 1 MLJ 174.

Seorang budak lelaki berumur 14 tahun melihat bapanya telah diserang dengan pisau dan ditetak dibadan akibat perselisihan faham mengenai gerai jual babi di PJ. Mahkamah dalam kes ini memutuskan kanak-kanak tersebut mempunyai akal yang cukup dan memberi keterangan tanpa sumpah dan amaran untuk mendapat keterangan sokongan tidak di perlukan.

5.4 LOO CHUAN HUAT v PUBLIC PROSECUTOR [1971] 2 MLJ 167

Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun sedang berjalan dengan emaknya ketempat judi. Tiba-tiba emaknya telah ditikam oleh oleh seorang lelaki iaitu tertuduh bagitu juga kanak-kanak tersebut. Akibat dari tikaman tersebut emaknya telah meninggal dunia dan tertuduh dituduh kerana membunuh. Sabita telah diketepikan kerana hakim yang mengendalikan kes gagal mengambil perhatian keterangan kanak-kanak sunggupun dibuat bersumpah perlu mendapat sokongan.
Hakim telah merujuk kepada kes Reg V Campbell dimana Lord Goddard berkata
 “keterangan saksi kanak-kanak yang diberi secara bersumpah bukanlah perkara undang-undang perlu disokong, tetapi terdapat bahaya bertindak diatas keterangan yang tidak disokong walaupun juri boleh berbuat demikian sekiranya ianya meyakinkan.”
( Nota : seksyen 133A Akta Keterangan adalah sama dengan seksyen 38 Children and Young Person Act dan perlu di sokong. Keterangan kanak-kanak yang diberi secara bersumpah tidak perlu disokong).

6. Kes Melibatkan Akuan Sumpah

6.1 Akuan Sumpah 1

Balasubramaniam meminta bantuan peguam Americk Singh Sidhu untuk merangka akuan bersumpah 1. Pada 1 Julai 2008, akuan sumpah itu diikrar di hadapan Dr. T. Yokheswarem. Balasubramaniam dan Yokheswarem dibesarkan di Slim River, Perak Sidang media oleh Balasumbramaniam di pejabat PKR, Petaling Jaya Pada 3 Julai 2009,

Balasubramaniam memberi sidang media di ibu pejabat  di Petaling Jaya mengumumkan akuan bersumpah membabitkan penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan wanita Mongolia - Altantuya. Akuan bersumpah 1 dirangka bersama dengan peguamnya , Americk Singh Sidhu. Turut hadir dalam sidang media itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, peguam Americk Singh Sidhu dan Shamsul Iskandar Mat Akin.
 6.2 Akuan Sumpah 2

Pada 4 Julai 2009, akuan bersumpah ke-2 diadakan di Hotel Prince, Kuala Lumpur . Akuan ke-2 didakwa dibuat setelah berjumpa dengan Deepak Jaikishan dan Datuk VIP Melayu di The Curve, Damansara.Pertemuan itu diadakan di di luar bilik pameranVolkswagen di (pusat beli-belah) The Curve pada malam 3 Julai 2008. Deepak Jaikishan, seorang ahli perniagaan permaidanididakwa (tanpa bukti yang sahih) menawarkan RM5 juta supaya menarik balik akuan bersumpah pertama. Datuk Seri Najib Tun Razak berulang kali menafikan pembabitan beliau dengan Altantuya dan spekulasi tindakan Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah. Isteri Datuk Nazim ialah pengacara rancangan Nona TV3 , yang sarat mengandung turut ada bersama. Deepak Jaikishan didakwa mahu Balasubramaniam segera meninggalkan Malaysia (http://ms.wikipedia.org/wiki/P_Balasubramaniam#Akuan_bersumpah_1&2).

7. KESIMPULAN
Secara jujur, secara kesimpulannya konsep sumpah dalam Akta Keterangan 1950 tidak meluas dan tidak banyak diperkatakan ketika prosiding berlaku. Ini kerana sumpah sering digunakan hanya di dalam Undang-Undang Keterangan Islam. Konsep sumpah dalam Akta Keterangan 1950 hanya berkonsepkan kesaksian kedua sahaja, yang mana ia hanya merupakan keterangan sokongan untuk menguatkan dakwaan atau menolaknya. Sumpah adalah pernyataan yang diucapkan dengan rasmi dan dengan bersaksi kepada Tuhan oleh salah satu pihak yang berperkara bahwa apa yang dikatakan itu benar. Apabila sumpah diucapkan maka hakim tidak boleh meminta bukti tambahan kepada para pihak. Selain itu seperti yang kita ketahui sumpah terdiri sumpah  promissoir iaitu sumpah yang isinya berjanji untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu.
Kedua Sumpah confirmatoir iaitu sumpah yang berisi keterangan untuk meneguhkan sesuatu yang benar. Sumpah confirmatoir terdiri dari Sumpah  supletoir yang mana
Sumpah supletoir atau sumpah pelengkap atau sumpah penambah iaitu sumpah yang dibebankan oleh hakim kepada para pihak untuk melengkapi dan menambah pembuktian. Sumpah pelengkap harus ada bukti terlebih dahulu namun bukti belum lengkap sedangkan untuk mendapatkan bukti lain tidak mungkin. Sumpah pelengkap dibebankan kepada para pihak oleh hakim karana jabatannya.

Demikian sumpah-sumpah yang digunakan di dalam mahkamah sivil ketika prosiding mahkamah dijalankan. Hanya sumpah kanak-kanak sebagai keterangan sokongan hanya di ambil kira oleh hakim jika dipikirkan perlu seperti dalam Seksyen 133A Akta Keterangan 1950 iaitu sumpah dalam keterangan kanak-kanak yang masih mentah. Dalam seksyen ini penekenan diberi lebih berbanding dengan perkara lain kerana isu sumpah kanak-kanak dalam prosiding keterangan yang berteraskan konsep sumpah perlu digunakan dalam keterangan saksi. Kesimpulannya isu sumpah hanya digunakan dalam undang-undang keterangan Islam sahaja dan tidak banyak diperbahasakan di dalam Akta keterangan mengenai konsep dan contoh-contoh berkaitan.



No comments:

Post a Comment